Dengan bukti terkini, Kit Siang persoal semula pemberhentian Gani Patail

Dengan bukti terkini, Kit Siang persoal semula pemberhentian Gani Patail

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

“Jika benar Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan khidmatnya sebagai Peguam Negara atas sebab kesihatan, mengapa beliau didapati berada dalam keadaan sihat dan baik ketika menghadiri majlis pentauliahan oleh Majlis Peguam baru-baru ini?” soal Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menambah, Gani kini menyertai firma guaman, Gani Patail Chambers yang menandakan beliau mampu menjalankan tugas sebagai peguam.

Malah katanya, Gani diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.

“Bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong turut mengatakan dalam ucapannya bahawa Gani berada dalam keadaan yang baik dan sesuai untuk menjadi peguam,” katanya dipetik Roketkini.

Kit Siang menganggap, alasan kesihatan yang diberikan oleh Putrajaya terhadap pemberhentian Gani bukanlah sebab sebenar.

“Tidak berkata benar mengenai pemecatan beliau sebagai Peguam Negara adalah tidak bermoral dan langsung tidak boleh diterima.

“Beranikah Perdana Menteri memberitahu rakyat Malaysia sebab sebenar Gani dipecat dalam ucapan Tahun Barunya nanti?” soalnya.

Gani pada 23 Disember lalu bersama lima yang lain diterima menjadi peguam oleh Majlis Peguam pada majlis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O’ Hara.

Beliau dilihat berada dalam keadaan baik dan sihat, justeru menimbulkan tanda tanya sama ada pemecatannya sebelum ini bukan berpunca dari masalah kesihatannya seperti yang didakwa kerajaan Persekutuan.

Nasib yang menimpa Gani pada tahun lalu itu memeranjatkan ramai pihak, termasuk Majlis Peguam sendiri memandangkan beliau adalah anggota penting dalam pasukan petugas khas yang menyiasat skandal syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB.

Presidennya, Steven Thiru sebelum ini mendakwa wujud campur tangan pihak berkepentingan, sama ada eksekutif atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri dalam urusan pasukan petugas khas itu yang mungkin mendorong kepada pemecatan Gani.

TAGS