Derma potong gaji YaPEIM hanya boleh di henti selepas 3 bulan, dakwa penyumbang

Hampir 20 tahun lalu, mereka datang berbicara tidak ubah seperti lembut gigi dari lidah bagi meminta sumbangan untuk kepentingan ekonomi umat Islam.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Hampir 20 tahun lalu, mereka datang berbicara tidak ubah seperti lembut gigi dari lidah bagi meminta sumbangan untuk kepentingan ekonomi umat Islam.

Mereka berkempen dengan memujuk atas nama amal jariah kepada golongan asnaf, menyebabkan Cikgu Fauziah, 43 tahun, yang ketika itu baharu memulakan karier sebagai guru bersetuju untuk menyertai Skim Potongan Gaji Bulanan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Bermula dengan sumbangan hanya RM34 setiap bulan, nilai potongan kemudiannya sentiasa meningkat dari semasa ke semasa dengan jumlah terkini sebanyak RM124 sebulan.

Namun, Cikgu Fauziah pada 12 November lalu telah menghantar surat kepada YaPEIM untuk berhenti daripada meneruskan sumbangannya ekoran skandal perbelanjaan yang melanda badan itu.

Ia kemudiannya diikuti oleh rakan-rakan gurunya di sebuah sekolah di selatan tanah air.

Akmal tunjukkan gambar Jamil dengan NajibMereka tekad berbuat demikian selepas merasakan ‘teka-teki’ mereka selama ini sudah terjawab melalui beberapa siri pembongkaran NGO Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) sejak 9 November lalu.

“Rupa-rupanya kami penjawat awam ini sudah tertipu sebab sudah bagi derma ‘free’ saja pada kerajaan yang bebal. Mana ada penyata kewangan tahunan dihantar kepada kami? Tak pernah! Tapi bila kita minta hentikan (sumbangan) sekarang, potongan hanya akan ditamatkan pada Januari nanti.

“Bayangkan, ratusan ribu kami kaum guru serta para penjawat awam lain sejak bertahun-tahun tidak sedar gaji masing-masing dipotong untuk memenuhi tembolok dan perut beberapa individu berkuasa yang tidak amanah untuk membantu dan memajukan ekonomi umat Islam di negara ini,” ujarnya dalam nada kecewa ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Cikgu Fauziah serta rakan-rakan setugasnya merupakan antara 3,000 penyumbang dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) dilaporkan setakat ini yang telah membuat keputusan menarik diri daripada menyumbang kepada yayasan penuh kontroversi itu.

Terdahulu, Cikgu Rashid dari sebuah sekolah di Selangor yang menemui Malaysia Dateline pada 13 November lalu, memberitahu beliau dan 15 rakan setugasnya telah menghantar surat penarikan diri daripada menjadi penyumbang kepada YaPEIM.

“Saya sendiri sejak 9 tahun lepas sudah buat potongan gaji sebanyak RM15 sebulan. Nampak sedikit tetapi kalau dikira sejak dulu, sudah RM1,620 saya serahkan kepada YaPEIM dengan niat supaya diagihkan kepada orang yang memerlukan bukan orang yang tamak dan salah guna kuasa,” ujarnya. 

Walau bagaimanapun, menganggap pelbagai pendedahan termasuk perbelanjaan YaPEIM sebanyak RM590,000 untuk rombongan lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke Amerika Syarikat tahun lalu sebagai “fitnah”, YaPEIM dilihat masih berada dalam sindrom penafian.

Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin dilaporkan berkata, mereka yang menarik diri itu akan kembali menyumbang selepas dakwaan mengenai penyelewengan dana dibuktikan tidak benar.

“Saya yakin pemberhentian (sumbangan dana) ini adalah bersifat sementara hingga mereka benar-benar yakin ini adalah fitnah dan mereka akan (kembali) meneruskan sumbangan kepada YaPEIM,” ujarnya malam tadi.

Sementara itu, YaPEIM dalam maklum balasnya kepada pemohon yang berhasrat memberhentikan sumbangan melalui potongan gaji itu memberitahu tindakan tersebut mengambil tempoh selama tiga bulan.

Kenyataan dua perenggan dalam e-mel berkenaan yang didahului dengan ucapan terima kasih kerana menyokong pelaksanaan amalan ‘sadaqatul jariah’ melalui Skim Potongan Gaji YaPEIM itu turut menyertakan nombor telefon 03-2717 2667 untuk pertanyaan dn bantuan lanjut.

TAGS