‘Derma’ RM2.6 bilion kini meningkat ke RM4.2 bilion, PM kena beri penjelasan

‘Derma’ RM2.6 bilion kini meningkat ke RM4.2 bilion, PM kena beri penjelasan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

‘Wang derma’ yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini dilaporkan meningkat kepada RM4.2 bilion daripada RM2.6 bilion yang heboh diperkatakan selama ini.

Ekoran pendedahan terbaru media antarabangsa itu, Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri tidak lagi berdolak-dalik dan segera tampil menjawab pendedahan terbaru itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut meminta supaya isu berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dibahas pada dua hari terakhir persidangan, iaitu pada Rabu dan Khamis minggu depan.

“Sejak awal tahun ini, Najib sering mengatakan bahawa skandal mega berkembar, 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang melibatkan dirinya bukan lagi isu kerana semuanya telah selesai.

“Tetapi skandal RM2.6 bilion Najib kini sudah menjadi sejarah, dan sekarang kita perlu membincangkan mengenai skandal derma RM4.2 billion!

“Justeru Najib harus mengambil keputusan berani dengan memberi laporan penuh kepada Parlimen berhubung skandal mega berkembar berkenaan yang kini menghantui negara untuk sejak dua tahun dahulu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Isnin lalu, dokumentari bertajuk “State of Fear: Murder and Money in Malaysia” terbitan ABC News Australia mendakwa terdapat aktiviti pindahan wang bernilai RM4.2 bilion dari pelbagai sumber ke akaun peribadi Najib.

Rakaman dokumentari itu boleh ditonton rakyat Malaysia melalui YouTube.

Sebelum ini Wall Street Journal dari Amerika Syarikat juga melaporkan dakwaan tentang Najib menerima sehingga USD1 bilion, iaitu lebih besar jumlahnya daripada yang dilaporkan sebelum ini pada nilai USD681 juta.

TAGS