Desak letak jawatan: Terpulang kepada pembangkang buat penilaian, kata Khairy

Desak letak jawatan: Terpulang kepada pembangkang buat penilaian, kata Khairy

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin menegaskan beliau bertanggungjawab penuh terhadap salah laku pegawai kanan di kementeriannya walaupun ada desakan pemimpin pembangkang agar beliau meletakkan jawatan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Khairy JamaluddinMenteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin menegaskan beliau bertanggungjawab penuh terhadap salah laku pegawai kanan di kementeriannya walaupun ada desakan agar beliau meletakkan jawatan.

Beliau berkata, tidak mahu mendahului siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pasukan siasatan khas di kementeriannya  terhadap Setiausaha Bahagian Kewangan yang telah berkhidmat sejak 1998 itu.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu juga menyerahkan kepada kebijaksanaan pemimpin pembangkang untuk menilai perkara ini, sebelum mendesak beliau meletakkan jawatan.

Ini kerana desakan perletakan jawatan itu ditujukan kepada beliau sedangkan beliau tidak menerajui KBS ketika itu.

“Saya tidak mahu mendahului siasatan SPRM dan pasukan siasatan khas.

“ Berapa jumlah, tempoh tahun berlaku, dan masa bila ia berlaku. Biarlah SPRM dan pasukan siasatan khas itu menentukan skop kes yang disiasat.

“Saya ada tanggungjawab untuk pastikan bahawa segala proses ini diperbaiki dan diperbetulkan (melalui pasukan siasatan khas di kementerian).

“Perkara ini berlaku diperingkat pentadbiran penjawat awam dan beliau (Setiausaha Bahagian) telah memanipulasi sejak sekian lama.

“Tugas saya untuk memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh tanpa gangguan,bebas dan secara telus.

“Saya jawab apa yang berlaku sekarang dan saya menteri bertanggungjawab terhadap penjawat awam di kementerian ini.

“Terpulang kepada pendesak (pembangkang)  nak buat penilaian (letak jawatan),” ujarnya menjawab soalan Malaysia Dateline pada sidang media selepas mesyuarat exco di ibu pejabat Pergerakan Pemuda Umno petang tadi.

Semalam Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau berpendapat siasatan secara telus dan adil tanpa sebarang campur tangan oleh pihak atasan hanya akan dapat dijalankan sekiranya menteri berkenaan meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Turut mendesak Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil juga berkata kerana imej KBS kini sudah tercemar, dalam konteks demokrasi yang progresif, langkah terbaik buat beliau sekarang ialah untuk berundur dan meletakkan jawatan pada kadar segera.

Ditanya adakah beliau memikirkan perlu siasatan dilakukan ke atas dua bekas menteri belia dan sukan sebelumnya, Khairy menyerahkan kepada SPRM dan pasukan siasatan khas yang ditubuhkan di kementerian.

“ Hari ini saya menteri yang bertanggungjawab dan kes ini yang ada di depan saya. Saya serah siatan pada SPRM dan pasukan siasatan khas.

“Saya yang akan jawab dengan kementerian saya, bukan orang lain (bukan bekas menteri).” terangnya.

Beliau turut berkata, salah laku Setiausaha Bahagian Kewangan yang berusia 56 tahun itu dipercayai licik untuk melindungi jenayah rasuah dilakukannya.

“Saya secara peribadi tidak tahu dia ada kehidupan yang mewah gaya hidup beliau tidak dipamerkan sewaktu bekerja sehinggalah saya membacanya di media. Saya pun tak tengok jam tangan apa dia pakai.”ujarnya

Khairy juga menolak dakwaan isu ini bertujuan untuk memburukkan imejnya sebagai ahli politik.

“Rasuah adalah rasuah. Saya tidak boleh kata ini adalah konspirasi untuk menjatuhkan saya. Saya tidak akan berselindung di sebalik alasan konspirasi politik. Saya akan berlaku jujur mengenai perkara ini,” ujarnya.

Semalam Khairy mengesahkan individu yang ditahan SPRM berkaitan penyalahgunaan dana RM100 juta adalah pegawai dibawah kementeriannya.

Beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk menubuhkan sebuah pasukan siasatan khas bebas untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik proses dan prosedur kewangan dalaman kementerian.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pula mengarahkan supaya siasatan berhubung isu penyelewengan dana kerajaan di KBS dilakukan dengan serta merta dengan siasatan dilakukan oleh Jabatan Audit Negara dan Jabatan Peguam Negara.

Pada Jumaat,  Pegawai kanan itu bersama lapan individu lain termasuk seorang wanita, ditahan SPRM kerana disyaki mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM100 juta.

TAGS