Di mana pesawat bomba padam kebakaran hutan, bukit?

Di mana pesawat bomba padam kebakaran hutan, bukit?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kebakaran hutan dan bukit termasuk setinggi kira-kira 60 meter di lokasi batu kapur dekat Batu Caves, Selangor kelmarin mengundang persoalan sejauh mana kelengkapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memadamkan api secara lebih berkesan.

“Banyak insiden hutan terbakar seperti di Gunung Pulai, Baling tetapi apa yang menghairankan kita ialah ketiadaan kelibat pesawat bomba dalam operasi memadam api yang mampu menyedut dan mencurahkan air ke kawasan kebakaran.

“Jika tidak silap negara kita pernah membeli dua buah pesawat bomba jenis tersebut. Kenapa tidak digunakan? Adakah kedua-dua pesawat itu sudah tidak boleh terbang disebabkan pihak kerajaan tidak ada duit untuk membeli alat ganti?” soal Mejar Zaidi Ahmad ketika dihubungi Malaysia Dateline semalam.

Beliau yang merupakan bekas jurulatih jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, jika benar wujudnya masalah alat ganti pada pesawat terlibat keadaan itu amatlah menyedihkan.

“Walhal, sebelum ini kerajaan telah melaksanakan pemotongan bajet di bidang yang tidak sepatutnya iaitu keselamatan sedangkan isu pertahanan dan keselamatan tidak boleh dipandang ringan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa satu siasatan dilakukan berhubung status pesawat bomba berkenaan memandangkan kebakaran hutan terutama di Batu Caves melibatkan banyak kemusnahan flora dan fauna yang tidak ternilai harganya.

“Mesti ada badan bebas untuk menyiasat mengapa pesawat bomba yang dibeli dengan ratusan juta ringgit duit rakyat itu gagal digunakan bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan segera sebelum merebak dan menyebabkan kemusnahan lebih teruk lagi,” tambahnya yang telah berkhidmat dalam TUDM lebih dua dekad.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan pesawat milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) setakat tahun 2010 ialah lapan unit termasuk dua pesawat helikopter baru jenis AW 139 Agusta buatan Itali yang diterima pada tahun tersebut.

Menurut Ketua Pengarah JBPM ketika itu, dengan adanya pesawat sendiri pihaknya yang mempunyai 16 juruterbang terlatih terdiri daripada anggota JBPM tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bantuan jika terdapat panggilan penyelamat atau operasi dalam hutan.

Walau bagaimanapun, pada 2014 dilaporkan pihak JBPM menggunakan pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk memadam kebakaran hutan di Bukit Bendera, Pulau Pinang selain dipantau sebuah helikopter milik JBPM.

TAGS