50 peratus pekebun kecil belum tuntut bayaran insentif

50 peratus pekebun kecil belum tuntut bayaran insentif

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kira-kira 50 peratus daripada 300,000 pekebun kecil getah di seluruh negara belum membuat tuntutan bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi setiap kilogram getah yang mereka jual.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Mohd Akbar Md Said berkata sejak Oktober tahun lepas kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi tujuan bayaran IPG.

“Ini berlaku kerana pekebun getah terbabit tidak memahami proses membuat tuntutan selain terdapat kekeliruan dalam kalangan mereka berhubung syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Insentif Pengeluaran Getah peringkat Parlimen Jeli semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang juga Ahli Parlimen Jeli.

Mohd Akbar berkata kerajaan memperkenalkan IPG untuk meringankan bebanan pekebun kecil getah di seluruh negara daripada kesan kejatuhan harga getah di samping memberi galakan kepada mereka untuk terus menoreh walaupun harga rendah dalam pasaran.

Katanya melalui IPG, pekebun kecil akan dibayar RM0.30 bagi getah sekerap di peringkat ladang dengan 50 peratus kandungan getah kering, maksimum RM0.90 bagi lateks berdasarkan peratusan kandungan getah kering dan maksimum RM0.60 setiap kilogram getah keping tanpa asap (USS) berdasarkan peratusan peratus kandungan getah kering.

Menurutnya, setakat ini, Sabah merupakan negeri paling ramai pekebun kecil getah yang membuat tuntutan bayaran IPG membabitkan pembayaran berjumlah kira-kira RM7 juta.

Beliau berkata pekebun kecil getah yang belum membuat tuntutan boleh mengemukakan permohonan masing-masing dengan melengkapkan syarat-syarat yang ditetapkan kepada LGM.

“Mereka boleh mengemukakan borang tuntutan melalui pembeli getah atau pejabat penghulu sebelum borang itu diambil oleh pihak kami (LGM) untuk diproses,” katanya.

Mohd Akhbar berkata antara syarat yang ditetapkan ialah pekebun kecil haruslah warganegara Malaysia, berdaftar dengan LGM atau Lembaga Insdustri Getah Sabah atau Jabatan Pertanian Sarawak atau agensi berkaitan seperti Felda, Felcra dan Risda.

Pekebun terbabit juga perlu memiliki kad Permit Autoriti Pekebun Kecil Getah (PAT-G), mempunyai kebun kurang daripada 40.46 hektar (100 ekar), menjual getah dalam bentuk lateks atau getah beku (sekerap/kepingan) selain mengemukakan dokumen berkaitan seperti borang tuntutan IPG, resit jualan getah bulanan dan salinan PAT-G.

Beliau berkata LGM dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Risda, Felcra dan Felda, akan mengadakan lebih banyak program taklimat bagi menjelaskan dan menggalakkan pekebun kecil getah membuat tuntutan.

Sementara itu, Mustapa berkata pemberian IPG tersebut membuktikan kerajaan prihatin dengan beban yang ditanggung pekebun kecil ketika harga getah rendah dalam pasaran.

 

TAGS