Dijangka PRN pada Mac, harap parti pembangkang tiada calon di Sarawak, kata Adenan

Dijangka PRN pada Mac, harap parti pembangkang tiada calon di Sarawak, kata Adenan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem membayangkan bahawa pilihan raya negeri Sarawak mungkin diadakan pada Mac depan.

Ketika berucap pada Sambutan Tahun Baru 2016 dan Sarawak Bebas Tol di Jambatan Tun Abang Mohammad Salahuddin di Kuching malam tadi, beliau berkata telah mendapat persetujuan daripada pemimpin Umno bahawa parti itu tidak akan melebarkan sayapnya ke Sarawak.

“Saya juga mahu supaya DAP, PKR dan parti-parti Semenanjung tidak datang ke Sarawak,” katanya.

Beliau juga mengumumkan ketiga-tiga wakil rakyat bagi kerusi Pantai Damai, Satok dan Samariang akan dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang.

Adenan meminta rakyat Sarawak menunaikan janji mereka kepada kerajaan dengan memberinya lima tahun lagi tempoh sebagai ketua menteri.

“Kerajaan sudah tunaikan janjinya untuk memansuhkan tol di negeri ini dan saya mahu melihat rakyat Sarawak pula menunaikan janji kepada kerajaan dalam masa tiga bulan lagi.

“Sekiranya kita boleh bersama-sama menunaikan janji kita, maka Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur,” katanya kepada lebih 10,000 rakyat Sarawak yang membanjiri jambatan itu malam tadi.

Pada majlis itu, Adenan turut mengumumkan pemansuhan tol Jambatan Tun Abang Mohammad Salahuddin di sini berkuat kuasa tengah malam tadi, sekali gus mengakhiri kutipan tol di seluruh negeri ini.

Pada Mei lepas, tol dimansuhkan di Jambatan Lanang Sibu dan langkah sama dilakukan di Jambatan Asean Baram, Miri pada Jun lepas.

Selain itu, Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang lebih 1,000 kilometer turut dikecualikan daripada tol.

TAGS