Dilema Melayu bersandar tradisonalisme

Dilema Melayu bersandar tradisonalisme

Bangsa Melayu tidak pernah lekang dengan sisi murni sepanjang perjalanan hidupnya. Namun dalam kesucian dan keindahan tersebut sudah pasti terselit juga daki dan karat yang mencemarkan kecemerlangan sejarahnya.

Kebanyakan dari kita akan melatah bila melihat seolah bangsa majoriti dalam negara ini dihenyak propaganda oleh mereka yang benci untuk menyaksikan perpaduan bangsa besar iaitu bangsa Malaysia lahir secara tulen dengan konsisten, lalu mereka meniup pendustaan dan rekayasa melayu akan lenyap seandainya reformasi berlaku.

Warisan (Anak Kecil Main Api)

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri

Jangan buang waktu lagi
Majulah raih sebuah mimpi
Hapuskan sengketa
Teruskan usaha

Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di pentas dunia

Seringkali bait lagu ini dialunkan oleh mereka yang cinta akan bangsa dalam pengertian mereka. Bagi mereka aspirasi yang mahu diketengahkan ialah apa jua yang berlaku, bangsa melayu itu harus kekal memerintah dan berkuasa. Jika kita maju lagi terus ke dasar, bangsa melayu yang mereka maksudkan hampir pasti melayu yang dari kalangan kelompok mereka.

“Hasil mengalir ke tangan yang lain, kita kan merintih sendiri”. Ini adalah bentuk indoktrinasi berzaman yang melekat kekal dalam sanubari bangsa melayu hari ini. Kegusaran dan ketakutan menyebabkan mereka akan terus memaut kepada bangsa melayu yang bermazhab penindas. Mereka bukan leka dan lalai, tetapi mereka sedar bahawa mereka sedang ditindas dari bangsa mereka sendiri.

Jadi mengapa berdiam diri? Apakah melayu itu lebih selesa dengan status quo? Atau ianya sekadar stratergi musuh melayu untuk memerintah negara ini?

Jika ini berlegar dalam benar fikiran kita semua maka ianya memberi gambaran bahawa kita ini masih lagi dibayangi virus tradisonalisme yang menjadi pengekang utama lalu sekaligus bakal meletakkan melayu senantiasa dalam dilema untuk memilih jalan perubahan dari segenap sudut.

Lihat apa yang berlaku pada tokoh pemikir melayu terkenal yang anak pada abad ini kenali beliau dengan panggilan Za’ba. Terbukti pemikiran kritis dan pandangannya yang diluar kotak pengamalan orang melayu ketika itu dan hari ini dengan sewenangnya di bakul sampahkan kerana itu akan mengganggu hantu yang asyik menakutkan orang melayu.

Dengan bangga beliau kita gelarkan dengan nama Pendeta Za’ba. Namun sikap kritikalnya pada melayu sedikit pun tidak di ambil pusing oleh orang melayu semasa zamannya dan kini. Tulis Za’ba dalam bukunya setiap dari kita ini mempunyai upaya untuk menimbang semua perkara dengan akal dan ilmu yang dimiliki. Bukan hanya berserah atau menurut tanpa meminta hujah mengapa harus berlaku sedemikian melainkan semuanya haruslah dibuktikan betul atau salahnya dan biarlah disahkan sendiri oleh kita.

Tidak ramai yang berani bertindak dan berfikir diluar kotak terlebih lagi bila latarnya bukan dari warna agama. Orang melayu sejak dari dulu merasakan agama Islam itu hak eksklusif mereka hingga fahaman yang melayu adalah Islam dan begitulah juga sebaliknya sudah sebati dengan minda yang naratifnya melayu. Begitulah Za’ba merintis perjuangan melaksana reformasi dalam kelompok yang selesa dengan pemikiran tradisional dari segala segi.

Walau Za’ba itu bukannya seorang ustaz apatah lagi ulama, namun peranannya yang menongkah wacana tradisi melayu duluan dengan membawa sebuah perubahan kepada pemikiran tradisional merisikokan Za’ba untuk hidup bagaikan hidupan asing di Tanah Melayu ketika itu. Malah Za’ba juga antara penentang hebat kepada golongan tua yang bergerak tanpa diberi izin untuk berfikir melainkan taat secara mengkhinzir buta.

Kelapukan pemikiran orang melayu yang hanya suka ikut-ikutan menyebabkan mereka bukan sekadar untuk membuat penilaian, malah seringkali menjadikan mereka hidup dalam dilema. Jika dulu sebarang pembaharuan dalam masjid atau surau akan dianggap sebagai melangkau batas yang dibenarkan “agama”.

Lihat apa yang cuba diketengahkan oleh Kyai Haji Achmad Dahlan(K.H Achmad Dahlan) pengasas kepada Muhammadiyah pada tanggal 18 November 1912 di Yogyakarta. Beliau ditentang dari golongan tua dari perkara kiblat hinggalah perkara membangunkan sekolah moden ketika itu yang dianggap meniru Belanda yang sudah tentu difikir kafir dan musuh Islam.

Za’ba dan K.H Achmad Dahlan berada dalam landskap manusia yang sama paras pemikiran mereka. Umat melayu dan Islam ketika itu hidup dalam kejumudan, lesu, beku dan seringkali terkait dengan amalan yang bersifat mistik. Bila ada yang mahu bertanya ia akan disuruh diam dan menurut sahaja. Akhirnya mereka ini akan takut untuk mempersoal atau menyanggah idea dan “isme” pemkiran konservatif.

Begitulah pemikiran reformis pasca peralihan dari tahun 1800 kepada 1900. Mereka serius dan berani memberi akal untuk umat melayu Islam. Meletakkan Al Quran dan Hadis sebagai tunjang mereka menggunakan segala ruang dan kepakaran untuk memastikan umat dan masyarakat memahami kepentingan untuk berani berfikir dan berhujah. Bukan membuka mulut tanpa mengetahui bahan yang bakal mereka telan yang akan menjadi darah daging mereka.

Renungkan mutiara kata yang dititip oleh K.H Achmad Dahlan untuk renungan kita bersama:

“Kita tidak mewarisi dosa siapapun dan tidak akan ada seorang pun yang akan mewarisi dosa-dosa kita”.

Dan begitu jugalah pesan Za’ba:

“Kita dimestikan beramal sendiri, mesti bertaqwa sendiri, mesti menjaga suruhan larangan Tuhan pada segala perkaranya sendiri: mesti mengerjakan sendiri dengan sedapat-dapatnya barang apa-apa jua yang kejahatan. Kita mesti sedia akan menanggung segala baik buruk perbuatan itu yang kita lakukan dalam kehidupan di dunia ini apabila berhadap dengan penghakiman Tuhan di negeri akhirat kelak; dan mesti jangan sekali-kali menggantungkan harapan untuk mendapat kejayaan dan keselamatan di akhirat itu semata-mata kepada pertolongan orang yang tinggal di dunia ini walau pertolongan “wali” dan “keramat” sekalipun!”

Begitulah pesan mereka yang memberikan kita semua pilihan atau untuk terus hidup di dalam persimpangan. Ada yang mahu berubah tetapi bimbang kesan dan natijah yang bakal diterima. Rasionalisme seringkali terpedaya dengan tradisionalisme. Maka penulis suka untuk mencadangkan kepada pembaca sama ada bersetuju atau pun tidak sedari awal tajuk bab ini untuk belajar menyanggah.

Ini kerana sesebuah pembaharuan itu dizahirkan dari cadangan dan penyanggahan, bukan diterima kita petak-petak.
______________________

Muhammad Syafiq Azmi ialah Ketua Pemuda AMANAH Melaka.

CATEGORIES