Diplomat Israel kunjungi Malaysia untuk pertama kali, apa berlaku?

Diplomat Israel kunjungi Malaysia untuk pertama kali, apa berlaku?

Sekumpulan diplomat Israel tiba secara rasmi di negara ini ketika Putrajaya dan Tel Aviv tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik menimbulkan tanbda tanya apakah sekatan sudah dilepaskan.

Menurut laporan Malaysiakini, Kementerian Luar Israel mengesahkan kunjungan diplomat terbabit baru-baru ini berdasarkan laporan The Times of Israel.

Jurucakap Kementerian Luar Israel Emmanuel Nahshon berkata diplomat negara Zionis itu menghadiri satu persidangan berkaitan petempatan manusia yang berlangsung selama seminggu di Kuala Lumpur.

Katanya delegasi itu diketuai Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet, dan mereka menyertai persidangan Program Petempatan Manusia PBB – atau dikenali sebagai UN-Habitat.

Sebelum ini stesen televisyen Israel, Hadashot TV, melaporkan delegasi kerajaan Zionis itu turut disertai bekas menteri, Ofir Pines, serta pegawai-pegawai kanan lain.

Kenyataan Nahshon kemudian mengesahkan laporan awal stesen TV terbabit.

Hadashot TV melaporkan Putrajaya terikat untuk menerima kemasukan warga Israel terbabit kerana untuk membolehkan persidangan itu diadakan, semua delegasi mesti diberikan visa.

“Roet memasuki Malaysia dengan pasport diplomatik Israel, menyertai persidangan berkenaan bersama wakil lain dari Israel, serta bertemu pegawai Malaysia,” kata kenyataan Kementerin Luar Israel yang dipetik The Times of Israel.

Di sebalik tiada hubungan rasmi antara Putrajaya dan Tel Aviv rakyat negara itu biasanya dibenarkan memasuki Malaysia.

Data rasmi diterbitkan Biro Statistik Pusat pada 2014, lapor The Times of Israel, menunjukkan hubungan dagang kedua-dua negara berkembang walaupun dalam keadaan berhati-hati.

Nilai dagangan antara kedua-dua negara dianggarkan sebanyak AS$1.5 bilion (RM5.9 bilion) setahun, menurut laporan Malaysiakini lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS