Disiplinkan Azmin juga, kata Chegu Bard  kepada Lembaga Disiplin PKR

Disiplinkan Azmin juga, kata Chegu Bard kepada Lembaga Disiplin PKR

Ketika dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR, Badrul Hisham Shahrin mahu lembaga itu dapat juga mengambil tindakan sewajarnya ke atas musuh pribadinya dalam parti itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali supaya PKR tidak berterusan diketawakan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengasas SAMM Badrul Hisham Shaharin Ketika dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR, Badrul Hisham Shahrin mahu lembaga itu dapat juga mengambil tindakan sewajarnya ke atas musuh pribadinya dalam parti itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali supaya PKR tidak berterusan diketawakan.

Bekas Ketua Cabang Rembau yang lebih dikenali Chegubard itu berkata, gejala rasuah, pembaziran, salah atau lemah urus tadbir tanpa mengira pihak mana harus dilawan memandangkan negara mahu perubahan iltizam politik bukan sekadar menukar individu atau parti politik semata-mata.

“Harapan saya Lembaga Disiplin boleh disiplinkan Azmin. Jika tidak, PKR akan terus menjadi bahan tawa,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Chegubard berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya di Facebook yang dipanggil untuk menemui pihak lembaga disiplin PKR petang ini.

Di akaun media sosial miliknya itu, beliau menulis, “Alhamdulillah. Baru mendapat mesej dari Jawatankuasa Disiplin (JKD), Parti Keadilan Rakyat memaklumkan 11 Januari (Isnin) jam 3.30 petang saya dipangggil mengadap ke satu sesi pendengaran dan siasatan yang akan diadakan di Ibu Pejabat PKR.

Teks Chegubard yang dipaparkan di laman facebooknya semalam.“Sekurang-kurangnya suara dan desakan didengar. Saya setakat ini meletakkan harapan tinggi ke atas Pengerusi Disiplin PKR Datuk Jeneral (B) Hj Hadi mampu bertindak adil. Terima kasih.”

Berbisik tidak diendah

Ditanya mengenai pertemuan atau perbincangan secara tertutup antara beliau dengan Menteri Besar Selangor itu yang mungkin diadakan sebelum ini sama ada melibatkan inisiatif individu atau pun melalui saluran parti, Chegubard menjawab tidak ada usaha seperti itu.

“Sebelum saya dedah, saya buat aduan dalaman tapi bila ‘berbisik’ tidak diendah, saya bercakap lantang,” jelasnya yang mula mendedahkan kononnya projek menaik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan mencecah hampir RM10 juta dalam blog beliau, chegubard.blogspot.com pada November tahun lalu.

Ekoran pendedahan itu berlaku pertelagahan terbuka antara kedua-dua pemimpin berkenaan termasuk reaksi Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa menyerang Chugubard sebagai ‘macai Umno’.

Selanjutnya, kenyataan Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha bahawa projek menaik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan itu diluluskan oleh menteri besar sebelum ini iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim, dianggap Chegubard sebagai tiada beza dengan cara pentadbiran rejim BN yang akan menuduh kesalahan menteri sebelumnya jika timbul sesuatu isu.

Selain isu pintu gerbang dengan kos yang tidak munasabah dan membazir itu, Chegubard turut mendedahkan kononnya ada kepincangan dalam proses penganugerahan tender balak membabitkan projek jajaran talian penghantaran elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor melibatkan Sungai Terentang, Rawang dan Mahkota Cheras.

Beliau juga sebelum itu, mendakwa konon wujudnya agihan zakat di Selangor bernilai jutaan ringgit secara terpilih melalui pemimpin parti penyokongnya sahaja sempena bulan Ramadan tahun lalu.

Reaksi Azmin berhubung kontroversi Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang disifatkan Chegubard sebagai berbolak-balik sekaligus memberi reputasi buruk kepada PKR turut menyaksikan pertembungan tajam kedua-dua pemimpin parti itu.

Pada ketika Azmin mendakwa DEIG yang ditubuhkan pada Disember 2014 masih belum memulakan operasi sebaliknya muncul Adun Umno Selangor membuktikan DEIG memperoleh sejumlah besar pinjaman bank.

Untuk rekod, DEIG ditubuhkan untuk mengurus pelaburan anak-anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan memberi tumpuan kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata.

Bahkan, Azmin dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor tahun lalu berkata, DEIG yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI itu diwujudkan bagi mengurangkan impak dan risiko perniagaan secara langsung terhadap kerajaan negeri.

Menurut Chegubard yang juga Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) lagi, tanpa mengira pihak mana sekalipun yang mentadbir negara atau negeri, mereka harus ditegur dan isu korupsi, pembaziran, penyelewengan dan salah atau lemah urus tadbir perlu dibongkar.

“Janganlah perlawanan melawan korupsi, penyelewengan, pembaziran dan salah atau lemah urus tadbir itu hanya menjadi slogan. Ingat, perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata,” tambahnya dipetik daripada kenyataan beliau sebelum ini.

TAGS