Ditengking polis, Apandi tekad mahu jadi peguam

Ditengking polis, Apandi tekad mahu jadi peguam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menganggap peristiwa ditengking polis pada 1964 sebagai meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tekad mahu menjadi peguam bagi memperjuangkan hak golongan yang teraniaya.

Berkongsikan sikap Ketua Polis Daerah Tumpat pada ketika itu yang berterusan menengkingnya akibat bermain mercun bersama beberapa rakan sekitar majlis tayangan gambar oleh Jabatan Penerangan Malaysia, beliau tidak dapat menerima layanan teruk untuk satu kesalahan kecil tersebut.

“Selama ini saya seorang anak baik yang tidak biasa dimarahi. Apatah lagi apabila menyaksikan ibu dan dua adik perempuan saya menangis melihat saya diperlakukan begitu.

“Dalam fikiran saya ketika itu, keadilan mesti diseimbangkan dengan kasih sayang, apatah lagi apabila kita berurusan dengan manusia yang mempunyai hati dan perasaan,” jelasnya seperti disiar dalam akhbar BH Ahad hari ini.

Susulan insiden yang berlaku ketika dirinya berusia 14 tahun ketika itu, Apandi menyifatkan peluangnya memperoleh biasiswa selepas Tragedi 13 Mei 1969 untuk belajar dalam jurusan undang-undang di University of London sebagai hari paling menggembirakan dalam hidupnya.

Beliau turut menceritakan hubungan rapatnya dengan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang merupakan junior setahunnya ketika mereka belajar di Maktab Sultan Ismail (SIC), Kota Bharu.

“Saya menjemput beliau (Arifin) di lapangan terbang dan mempelawa beliau bermalam di kediaman. Saya terkejut dimaklumkan beliau mengambil jurusan Sains Politik, sedangkan beliau layak mengambil jurusan undang-undang.

“Saya segera menasihatkan beliau menukar jurusan ke undang-undang. Itu yang beliau lakukan dan kini beliau adalah Ketua Hakim Negara,” ujarnya lagi.

Apandi sebelum ini pernah mendakwa tiada bukti dari mana-mana agensi penguatkuasaan yang menunjukkan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digelapkan.

Beliau juga menyatakan tiada dalam tuntutan fail oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat yang menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku.

Pelantikan Apandi sebagai Peguam Negara yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Najib berkuatkuasa 27 Julai 2015 iaitu pada tarikh sama dengan penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail.

Bagaimanapun, Abdul Gani yang mula memegang jawatan peguam negara sejak 2002 dilapor tidak menerima sebarang makluman mengenai pemecatan atas sebab-sebab kesihatan tersebut sekaligus mengundang pelbagai tanggapan di sebalik pelantikan Apandi secara mengejut itu.

TAGS