DLP: Kerajaan tidak ambil iktibar kegagalan PPSMI

DLP: Kerajaan tidak ambil iktibar kegagalan PPSMI

Kedegilan kerajaan meneruskan Program Dwi-Bahasa (DLP) dalam mata pelajaran berteraskan sains, matematik dan teknologi amat mengecewakan kerana tidak mengambil iktibar daripada kegagalan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kedegilan kerajaan meneruskan Program Dwi-Bahasa (DLP) dalam mata pelajaran berteraskan sains, matematik dan teknologi amat mengecewakan kerana tidak mengambil iktibar daripada kegagalan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

 Naib Presiden Amanah, Ustaz Dr Hasan Bahrom berkata, pelaksanaan DLP dengan projek rintis di 300 sekolah mulai tahun ini menyaksikan pihak kerajaan sendiri lupa dengan kegagalan PPSMI yang kemudiannya diumumkan mansuh pada 2012 lalu.

“Amat dikesali dan mengecewakan, kegagalan PPSMI tidak diambil pengajaran oleh kerajaan dalam berbelanja ribuan juta ringgit dana awam sedangkan hasilnya amat tidak menggalakkan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mengulas peruntukan berjumlah RM38.5 juta untuk pelaksanaan DLP dan Program Imersif Tinggi (HIP) seperti diumumkan Najib Razak dalam penentangan Bajet 2016 lalu, beliau berkata, pembaziran wang rakyat perlu dielak dengan mendapatkan pandangan pihak berkaitan termasuk pakar, ahli akademik dan guru cemerlang bahasa Inggeris untuk memastikan matlamat pelajar menguasai bahasa itu akan tercapai.

“Pelaksanaan DLP tanpa kajian menyeluruh dan mengambil kira pandangan dari pakar pendidikan yg bertauliah dalam soal itu dibimbangi hanya akan mengulang masalah sama seperti PPSMI.

“Dana yang begitu besar akan hilang mengalir begitu sahaja tanpa ada impak yg berkesan pada perkembangan pendidikan dan pembangunan insan,” jelasnya.

Menurut bekas pensyarah itu, terdapat banyak kaedah lain boleh digunakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

“Tidak semestinya pelajar akan menguasai bahasa itu hanya kerana diajar dalam subjek Matematik dan Sains selagi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) subjek Bahasa Inggeris itu sendiri tidak diperbaiki.

“Bahkan, tiada bukti ilmiah menunjukkan pelajar boleh menguasai bahasa asing melalui mata pelajaran yang berasaskan rumus dan konsep itu,” tambah Dr Hasan lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru pelaksanaan DLP segera dimansuhkan dengan mengambil kira keberkesanan mekanisme tersebut selain memastikan penggunaan dana awam tidak merugikan generasi masa depan.

Dalam hal berkaitan, Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan menyifatkan DLP yang dituntut pihak tertentu termasuk sebahagian elit Melayu sebenarnya bukan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Ujarnya, dasar dalam pendidikan di Malaysia tidak mengiktiraf sistem dwibahasa sekaligus tidak menerima konsep multilingual selari dengan peruntukan perlembagaan dalam Perkara 152.

Beliau turut mempersoalkan jumlah mata pelajaran yang lebih banyak akan diajar dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu akibat pelaksanaan DLP.

Himpunan Bantah DLP akan diadakan esok di Dataran Merdeka jam 2 petang.Untuk rekod, DLP hanya tertakluk di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) saja sekaligus mengundang persoalan banyak pihak sebab program itu tidak turut dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil jika tujuannya baik untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, orang ramai dialu-alukan menyertai himpunan anjuran gabungan lebih 20 NGO menuntut kerajaan memansuhkan DLP yang akan diadakan di Dataran Merdeka esok.

Peserta himpunan dikehendaki mengenakan pakaian berwarna putih dan berkumpul di Masjid Jamek untuk solat Zohor berjemaah sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

TAGS