Dogmatisme menghalang anjakan paradigma

Dogmatisme menghalang anjakan paradigma

Dogma menerusi definisi yang diberikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud ajaran (kepercayaan) yang tidak boleh dibantah atau dipersoalkan melainkan harus diterima sahaja.

Kebanyakan yang bermanhaj dogmatisme ini boleh dianggap sebagai aliran pemikiran atau fahaman status quo kelompok masyarakat duluan. Sesiapa yang menentang akan dianggap terkeluar daripada kumpulan atau jalur mereka.

Mutakhir ini terlihat banyak negara yang tergugat keselamatan mereka bertitik tolak daripada pandangan melampau terutama dari sudut agama. Apa yang berlaku daripada tindakan ISIS misalnya, bukan sahaja meningkatkan Islamophobia pada bukan muslim malah kesannya perlu ditanggung muslim seantero dunia.

Pemikiran “Ghuluw” atau ekstrem ini terlahir daripada dogma yang merebak secara pantas, halus dan mudah ke dalam pemikiran serta amalan kelompok seperti ini kerana mereka sukar untuk menerima pandangan atau pendapat selain dari ahli mereka. Tidak hairanlah akan wujud tindakan yang bagi mereka ia adalah wahyu daripada tuhan sedangkan ia hanyalah pandangan yang belum tentu betul dari pimpinan atasan mereka.

Al-Qaradhawi, seorang sarjana Islam moden yang masih hidup dan sihat menyaring 6 kriteria umum yang merujuk pelampau atau ekstrimis itu seperti:

1. Taksub kepada suatu pandangan dan tidak mahu menerima wujudnya perbezaan pandangan.
2. Memberikan hukum wajib kepada orang awam terhadap perkara yang tidak diwajibkan oleh Allah.
3. Sentiasa bersangka buruk kepada individu lain.
4. Syadid tidak kena dengan keperluan masa dan tempatnya.
5. Tegas dan kasar secara berlebih-lebihan.
6. Suka dan senang dengan gejala takfiri.

Sikap ekstrem bukan sahaja melanda umat Islam semata. Setelah mencari dan membaca, penulis menemui beberapa artikel berkaitan seorang individu yang dikenali dunia dengan nama Dalai Lama. Beliau merupakan pemimpin kerohanian Buddha berasal dari Tibet. Beliau telah menerima anugerah nobel setelah memberi pandangan berbeda dengan tindakan yang diambil oleh pemimpin Myanmar yang juga penerima anugerah yang sama sebelum ini.

Bagi Dalai Lama yang hidup dalam buangan di India, Aung San Suu Kyi dan pimpinan Buddha Myanmar berpandangan sekiranya Gautama Buddha itu masih punya nafas, beliau pasti akan menghulurkan bantuan kepada etnik Rohingya yang kini hidup dengan pergolakan di Wilayah Rakhine. Menifestasi sebagai respons kepada pandangan Dalai Lama dizahirkan oleh Myanmar terhadapnya tidak jauh bedanya dengan apa yang berlaku kepada dunia muslim.

Pemimpin garis keras Buddha Sri Lanka telah membuat tuduhan kepada Dalai Lama bahawa dia telah terpengaruh dengan Islam. Pemimpin Bodu Bala Sena (organisasi Pasukan Kekuatan Buddha), Galagoda Aththe Gnanasara menyatakan “Seperti Paus bagi orang Kristian, dia dianggap sebagai pemimpin bagi semua umat Buddha oleh negara Barat. Tetapi, kami tidak menerima dia sebagai antara pemimpin umat Buddha”.

Begitulah dogmatisme ini bergerak dan bercambah. Kesukaran menerima percambahan pandangan berisiko menyebabkan wujudnya permusuhan dan persengketaan. Bukan saja terhalang anjakan paradigma itu berlaku, malah ia mampu merangsang pertumpahan darah hingga membawa kematian.

Allah SWT melalui kalam sucinya Surah Al-Kahfi , ayat 103-104 berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?” – Surah Al-Kahfi ayat 103.

“(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. – Surah Al-Kahfi ayat 104.

Ada orang yang sering merasakan tindak tanduk mereka adalah amal kebaikan walhal ia bukanlah sesuatu tuntuan dan kewajipan yang perlu dikerjakan. Sudahlah merasakan lisan dan tindakan mereka itu utusan tuhan, dengan merasakan diri mereka adalah tuhan hingga mempunyai mukjizat melihat dosa dan pahala atau neraka dan syurga bagi sesiapa yang naratif kepercayaan tidak sehala mereka.

Apabila dogma berakar dan mencengkam minda ia akan tumbuh menjadi penghalang untuk mana-mana individu atau pergerakan menuju kesuatu corak pemikiran yang progresif berbanding persekitaran konservatif selama ini. Bagi mereka perubahan itu pengkhianatan dan dosa besar yang tak boleh dimaafkan.

Reformasi pemikiran yang tidak berlaku akan mudah memberi kesempatan kepada pihak-pihak tertentu yang punya kepentingan memanipulasi situasi tersebut. Kemalasan dan kelesuan yang disengajakan rencananya akan memberi laba untuk mereka yang oportunis merangkul segala macam yang dipesan oleh nafsu serakah mereka. Akibat dari ketakutan anjakan paradigma itulah akan terus memupuk dan menyambung sindrom penafian (denial syndrome) ke dalam masyarakat terbanyak.

Ketika ini mereka yang berkuasa sewenang-wenangnya terus diangkat oleh masyarakat walau telah terbukti punya rekod yang tidak baik hingga mampu menjana kerosakan kepada negara atau organisasi. Jika ditentang atau dicabar, maka tunggu saja makian dan kejian yang bila-bila masa boleh dihamburkan kepada kita.

Lalu tidak mustahill jika ada sebahagian masyarakat yang takut dan cemas untuk menongkah arus dan membelah badai bagi menjayakan perubahan yang diidamkan. Penulis menaruh kepastian dan keyakinan tidak berbelah bagi yang mahu vokal hingga suaranya didengar, mereka mungkin risau dengan gelaran dan panggilan jahat yang menikam sanubari akan disapa oleh masyarakat kepada mereka.

Lihat saja dalam konteks negara kita Malaysia tercinta ini. Ada yang muslim digelar kafir dan ada pula yang Melayu diceritakan serata pelusuk tanah air sebagai ejen bangsa lain dan anti Melayu. Belum dihitung lagi mereka yang digelar liberal. Walhal yang melontarkan itu sendiri tidak tahu apakah maksud sebenar liberal melainkan mengikut saja apa ditutur pimpinan di atas.

Menjadi tanggungjawab kita semua bersama agar dogmatisme ini diluputkan dalam pengamalan kehidupan masyarakat di Malaysia. Jika tidak dibunuh, kita akan terus terpisah dan dilayan dengan zalim oleh sang penguasa.

Besar benar harapan penulis dan pencinta keadilan untuk melihat rakyat yang tumpah darahnya sekali di tanah air ini berani menjadi manusia yang tahu kita semua pasti mati dan dikebumikan. Jangan kita menyesal kelak bila cucu cicit kita menggelar kita punca rosaknya negara yang kita akan wariskan pada mereka.

Jangan kita berpura-pura sambil mendabik dada, sedangkan generasi mendatang menanggung sambil menepuk kepala.

 

CATEGORIES