DPIM cadang wujudkan undang-undang khas wakaf korporat

DPIM cadang wujudkan undang-undang khas wakaf korporat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan undang-undang khas bagi membolehkan wakaf perniagaan/korporat dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan negeri bagi merancakkan lagi ekonomi negara.

Pada masa ini, kelulusan bagi mewakafkan sumbangan hanya diberikan kepada pihak majlis agama Islam negeri.

Presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata cadangan itu bertujuan memperbanyakkan lagi aktiviti wakaf apabila lebih banyak badan diberi tugas meluluskan aktiviti berkaitan.

“Kita perlu menggalakkan institusi wakaf ini berkembang dalam masyarakat supaya hak milik harta berkekalan lama dan dikongsi bersama, berbeza dengan syarikat korporat lain yang kebiasaannya dimiliki oleh individu-individu berkepentingan.

“Ini akan membantu menaik taraf ekonomi golongan kurang berkemampuan, seterusnya mewujudkan komuniti Islam yang perkasa dari segi kewangan dan ekonomi,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan ucap tama di Seminar Pasaran Modal Islam Malaysia di sini, pada hari ini.

Dalam ucapannya itu, Muhammad Ali juga mencadangkan supaya penswastaan syarikat berkaitan kerajaan turut dipertimbangkan kepada institusi wakaf korporat bagi menjamin kelangsungan hak milik bersama untuk diagihkan sesama masyarakat.

“Keutamaan perlu diberikan kepada institusi wakaf, sekiranya ada, kerana ia akan menyumbang terus kepada pembangunan ekonomi negara selain menjaga kepentingan orang ramai.

“Kerajaan juga dicadangkan untuk mengkaji kemungkinan IPO (Tawaran Awam Permulaan) melibatkan peruntukan saham untuk wakaf korporat,” katanya.

TAGS