Dr. Ismail dakwa persempadanan semula SPR di Kedah berat sebelah

Dr. Ismail dakwa persempadanan semula SPR di Kedah berat sebelah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Cadangan persempadanan kawasan Parlimen dan Dun dalam Negeri Kedah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan berat sebelah.

Malah apa yang sedang direncanakan oleh SPR memperlihatkan seolah-olah ianya sebagai suatu tindakan bagi memenangkan Umno dan BN dalam pilihan raya ke 14 yang akan datang.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan Pakatan Harapan (PH) Kedah kepada wakil SPR di Alor Setar.

Menurut beliau lagi, persempadanan yang dicadangkan oleh SPR tersebut tidak mengikut asas dan kaedah yang mereka sendiri war-warkan selama ini.

“Jika dilihat pada kaedah sebenar sepertimana yang dinyatakan oleh SPR, persempadanan ini adalah berdasarkan kepada sempadan daerah, sempadan sungai dan jalan raya.

“Ia juga turut meliputi komposisi penduduk, pengagihan penduduk serta jumlah penduduk bagi sesuatu kawasan.

“Namun begitu dalam persempadanan yang mereka cadangkan kali ini, memperlihatkan bagaimana SPR sendiri tidak mengikut kaedah yang mereka sendiri tetapkan, ” jelasnya lagi.

Beliau juga berkata, terdapat pusat daerah mengundi atau PDM ke dalam Dun tertentu dikumpulkan bagi memastikan kemenangan kepada BN.

Tegasnya lagi, PH Negeri Kedah akan tetap membantah cadangan kawasan pilihan raya oleh SPR terutamanya bagi tujuh kawasan Parlimen dan 13 kawasan Dun di Kedah.

“Usaha SPR memindahkan pengundi ke beberapa kawasan Dun sebagai suatu tindakan terdesak bagi membantu BN mengekalkan kuasa.

“Pendekatan yang sedang dilakukan oleh SPR dengan memindahkan pengundi ke kawasan yang diharapkan mampu membawa kemenangan kepada BN adalah suatu tindakan berat sebelah.

“Kenapa mereka hanya memindahkan pengundi ke kawasan yang diharapkan BN menang semataq-mata, sebaliknya tidak menambahkan kerusi Dun di Kedah, ” tanya beliau lagi.

Tambahnya lagi, sebagai contoh bagi Dun Bukit Selambau yang mempunyai hampir 50,000 pengundi sepatutnya sudah boleh dijadikan sebagai satu Parlimen.

Walau bagaimana pun, perkara ini tidak berlaku, sedangkan jumlah pengundi dalam kawasan Dun Bukit Selambau adalah melebihi jumlah pengundi di Parlimen Langkawi dan juga Padang Terap yang dikuasai oleh Umno dan BN.

“Bagi Parlimen Langkawi yang dikuasai oleh BN, mereka hanya mempunyai 37,645 pengundi.

“Begitu juga dengan Parlimen Padang Terap yang diwakili oleh BN dengan jumlah pengundi seramai 42,877 orang.

“Pengundi-pengundi juga tidak diberi maklumat mengenai pemindahan mereka serta peluang untuk mereka membuat bantahan sebagai pengundi yang sah, ” tambahnya lagi.

Oleh kerana itu katanya, SPR mesti bertindak secara adil dan tidak berpihak kepada Umno dan BN dalam usaha mereka memenangkan parti pemerintah tersebut menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

TAGS