Dr Mahathir jadi penaung kumpulan rebel Umno

Dr Mahathir jadi penaung kumpulan rebel Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dalam satu perkembangan yang memberi nafas baru kepada kumpulan penentang presiden Umno, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menyatakan persetujuan untuk menjadi penaung kepada Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM).

Persetujuan itu dinyatakan bekas presiden Umno itu dalam pertemuan dengan 21 ahli jawatan kuasa GKCM pusat yang diadakan di pejabatnya di Yayasan Al Bukhari, Kuala Lumpur.

GKCM adalah kumpulan ketua-ketua cawangan Umno yang menuntut perubahan dibuat bagi menyelamatkan Umno. Kumpulan ini juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

“Tun melahirkan rasa bangganya terhadap kemajuan yang telah dicapai oleh GKCM dalam masa yang amat singkat,” kenyataan media Sekretariat GKMC dipetik.

Tambah membanggakan, Dr Mahathir menganggap GKCM golongan berani bersuara bagi menyatakan kebenaran di dalam Umno.

“Yang menariknya GKCM terdiri daripada mereka yang datangnya dari pelbagai latar belakang. Ini merupakan suatu kekuatan bagi GKCM.

“Kita juga mengambil sesuatu keputusan berdasarkan suara ramai. Ketika bertemu dengan GKCM, Tun amat teruja dan sentiasa kelihatan ceria kerana bangga apabila GKCM melontar idea-idea yang bernas dan terkehadapan,” ujar Sekretariat GKMC.

Kenyataan media itu juga menyebut kebimbangan Dr Mahathir terhadap golongan cerdik pandai yang semakin lama semakin dipinggirkan Umno.

Selain menganggap kehadiran GKCM berjaya mengimbangi golongan yang telah banyak merosakkan parti, Dr Mahathir berharap kumpulan itu dapat membantu menguatkan parti setelah hilangnya kepercayaan ahli dan masyarakat umum terhadap Umno.

Bagi memastikan Umno kekal relevan, D Mahathir mahu GKCM menjadi pemangkin pemulihan parti akibat masalah kepimpinan yang meruncing.

TAGS