Dr Mahathir jumpa dan bersalam erat dengan Anwar di mahkamah

Dr Mahathir jumpa dan bersalam erat dengan Anwar di mahkamah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan bekas musuh politik beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mereka dilihat bersalam erat dalam pertemuan yang sangat bersejarah itu.

Anwar ke mahkamah hari ini untuk memfailkan tuntutan mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari sudut perlembagaan.

Tun Dr Mahathir pula dikatakan datang ke mahkamah bersama para penyokong beliau bagi memberikan sokongan kepada Anwar.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ketua sekretariat Deklarasi Rakyat yang dipengerusikan Mahathir, Datuk Kamarudin Jaffar dan pembantu khas Mahathir, Datuk Seri Khairudin Abu Hassan.

Hubungan antara kedua-dua pemimpin ini terjejas teruk sejak Anwar dipecat dari jawatannya sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Ia semakin bertambah buruk apabila Anwar mengetuai pembangkang dan mencabar kepimpinan negara di bawah Mahathir.

Namun suasana mula berubah apabila Mahathir mula menyerang kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Tun Dr Mahathir bersama tetamu yang lain duduk di galeri awam selepas berjumpa Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.Pelbagai pihak memberikan tekanan agar kedua-dua pemimpin ini melupakan permusuhan antara mereka bagi membolehkan usaha bersama mereka mahu menjatuhkan Najib berjaya.

Usaha Mahathir menubuhkan Deklarasi Rakyat disokong Anwar melalui satu kenyataannya. Namun begitu, Anwar berubah arah apabila Mahathir terus menyerang beliau selepas itu.

Orang kepercayaan Mahathir, Khairudin Abu Hassan pernah membawa mesej dari Anwar dipenjara agar menemukan keluarga Anwar dengan Mahathir tetapi tidak berjaya. 

Khairuddin ditahan polis mulai 18 September 2015, beberapa hari sebelum pertemuannya dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat.

Khairuddin ditahan 24 hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, lima minggu ditahan di Penjara Sungai Buloh dan dimasukkan 11 hari ke wad Hospital Kuala Lumpur kerana menghidap demam denggi.

Semasa di penjara Sungai Buluh beliau berjumpa dengan Anwar dan membawa pesan itu keluar.

TAGS