Dua juruterbang Hawk 108 negara maut

Dua juruterbang Hawk 108 negara maut

Kedua-dua juruterbang pesawat Hawk 108 yang dilaporkan hilang pagi tadi, disahkan terkorban dan pesawat pejuang itu dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu petang ini.

Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata jasad kedua-dua mangsa, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39 dan Mejar Hasri Zahari,  31 ditemui pada  2.30 petang tadi, kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan.

Menurutnya kedua-dua mereka ditemukan memakai payung terjun menunjukkan mereka sempat melenting keluar daripada pesawat.

“Mayat mereka ditemui dalam jarak 20 meter antara satu sama lain. Bagaimanapun, setakat ini pesawat masih belum ditemui dan kerja-kerja mencari masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Pangkalan TUDM di sini, hari ini.

Affendi berkata jasad kedua-dua juruterbang itu kini dalam proses dibawa keluar dari lokasi penemuan dan akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk dibedah siasat.  

Beliau berkata Yazmi berasal dari Kuala lumpur dan telah berkhidmat dalam TUDM selama 19 tahun manakala Hasri pula dari Jempol, Negeri Sembilan dan telah bersama pasukan itu sejak 13 tahun lalu.

“Kedua-dua mereka merupakan juruterbang yang berpengalaman. Yazmi juga berpengalaman sebagai jurulatih penerbangan sejak enam tahun lalu manakala Hasri pula adalah juruterbang operasi,” katanya.

Affendi berkata kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa yang berkhidmat dalam No 6 Skuadron Pangkalan TUDM Labuan, Sabah sedang menjalani latihan penerbangan dan dijadualkan mendarat di Pangkalan TUDM Kuantan petang tadi selepas berlepas pada 11 pagi.

Menurutnya keluarga Yazmi dan Hasri yang masing-masing berada di Kuantan dan Labuan sudah dimaklumkan akan nahas itu.

Allahyarham Yazmi mempunyai enam anak manakala Hasri merupakan bapa kepada seorang anak.

TAGS