Dua lelaki muat naik kenyataan jelek terhadap Sultan Johor ditahan

Dua lelaki muat naik kenyataan jelek terhadap Sultan Johor ditahan

Dua lelaki dipercayai memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor dan Institusi Diraja Johor melalui media sosial Facebook berasingan, ditahan di dua lokasi berbeza, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau berkata suspek pertama berusia 27 tahun ditahan di Rembau, Negeri Sembilan semalam manakala suspek kedua berusia 47 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam.

“Suspek pertama yang dipercayai bertanggungjawab memuat naik kenyataan itu terhadap Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor dan Institusi Diraja ditahan kira-kira 11.30 malam hasil tindakan pantas polis Negeri Sembilan mengesan suspek.

“Suspek kedua pula yang dipercayai bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan terhadap Sultan Johor dan Institusi Diraja ditahan semasa menyerah diri di IPD Gombak kira-kira 12.15 tengah hari,\” katanya dalam kenyataan.

{loadposition myposition} Katanya, polis turut merampas dua telefon bimbit bersama kad sim milik kedua-dua suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan tersebut.

“Kedua-dua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, katanya.

Menurut Mohd Khalil, pihaknya akan memohon reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi membantu siasatan.

CATEGORIES