Dua pusat pemindahan dibuka siap sedia hadapai air pasang besar di Selangor

Dua pusat pemindahan dibuka siap sedia hadapai air pasang besar di Selangor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dua pusat pemindahan banjir kini dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda dan Dewan Palembang, Rantau Panjang, Klang bagi membolehkan penduduk di sekitar zon merah bersiap sedia berpindah, malam ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Selangor Dr Daroyah Alwi berkata, hal itu kerana dijangka air dijangka melimpah pada awal pagi esok kira-kira jam 5 pagi ekoran fenemena air pasang besar yang dijangka berlaku esok (14 November).

“Penduduk di sekitar diminta untuk mendaftar petang ini bagi membolehkan persiapan pemindahan dan persiapan makanan dilakukan dengan lebih awal.

“Pada sebelah malam, mereka nasihatkan untuk tidur di pusat pemindahan disediakan. Bagi penduduk Batu Lima, mereka boleh mendaftar di Dewan Palembang untuk sementara waktu ekoran Dewan Ahmad Razali ditempah untuk majlis kahwin.

air-pasang-morib“Tetapi, kita akan pantau sekiranya keperluan mendesak, kita akan buka Sekolah Agama Rakyat yang berhampiran Dewan Ahmad Razali,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Dr Daroyah memaklumkan pihaknya sudah menggerakkan pasukan untuk masuk ke pusat pemindahan bagi memulakan persiapan penyediaan makanan dan sebagainya.

Katanya, persiapan rapi dari pelbagai agensi lain juga digerakan dan bersedia bagi hadapi sebarang kemungkinan.

“Saya juga baru melawat benteng pagi tadi dan keadaan ketika ini masih baik. Cuma kita nasihatkan supaya penduduk boleh berpindah lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelemat negeri, Mohd Sani Harul ketika dihubungi berkata, seramai 1,400 anggota dari 32 buah anggota bomba dalam keadaan bersiap-sedia selepas fenomena air laut pasang besar yang diramal berlaku bermula Isnin ini di pesisir pantai Selangor.

Katanya, pihaknya mengarahkan anggota itu bertugas mengikut ‘shif’ selain bantuan seramai 850 anggota bomba sukarela dari 21 balai untuk bersiap-sedia 24 jam.

“Bomba turut menyediakan beberapa kelengkapan termasuklah 40 buah bot serta 18 buah lori bagi memudahkan urusan pemindahan dan sebagainya.

“Dua daerah iaitu Klang dan Sabak Bernam dikategorikan sebagai zon merah atau kawasan berisiko tinggi dilanda banjir manakala tiga daerah lagi iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang sebagai zon kuning, kawasan berisiko sederhana,” katanya.

Sani turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah ke tempat yang ditetapkan.

Terdahulu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan fenomena air laut pasang besar diramal berlaku selama lima hari bermula Isnin ini di pesisir pantai Selangor dengan ketinggian paras air mencecah 5.6 meter.

“Risiko berlakunya banjir boleh meningkat sekiranya hujan lebat dan angin kencang turut melanda pada masa yang sama.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan semua agensi berkaitan membuat persediaan bagi menghadapi bencana tahap tinggi di semua daerah terlibat,” katanya.

TAGS