Dua wajah hari raya

Ketika orang kota
Riuh rendah menyambut hari raya
Dengan lampu gemerlapan
Rumah dihias serba mewah
Juadah berlempahan
Aku terkenang simiskin di desa nelayan.

Desa terpencil nelayan pantai
Dibelit kemiskinan turun temurun
Namun hari raya tiba juga
Disambut tangisan anak-anak
Tiada baju dan kasut baru
Makanan yang ada hanya sekadarnya.

Ketika takbir kedengaran dari surau tua
Sang ibu menitiskan air mata
Mengenang sang suami yang hilang di laut
Enam tahun lalu
Ketika menangkap ikan
Mewariskan kemiskinan kepada anak isteri

Anak yang tua, remaja, bekerja kampug
Sang anak memandang ibu
Dan ibu memandang anak lebih sayu lagi
Kepada siapa sang ibu hendak mengadu
Jiran-jiran juga miskin seperti mereka
Hari raya, takbir dan air mata

Makanan hari raya itu sekadarnya saja
Jiran-jiran memberi sedikit kueh kampung
Itulah yang dimakan
Oleh keluarga ini
Bersama air mata pilu

Anak-anak memakai pakaian lama
Tidak berganti
Pergi ke surau bersolat raya
Bersama kawan-kawan
Sang ibu tidak terkatakan sedihnya
Mewarisi kemiskinan yang panjang
Bersama keluarga nelayan miskin yang lain

Jauh di kota
Dalam gemerlapan lampu
Dengan segala kemeriahan
Deretan kereta besar menjalar
Di pekarangan banglo orang kaya
Riuh rendah dengan pesta raya

Tetamu demi tetamu yang datang
Dihidangkan dengan pelbagai juadah
Dengan segala kemewahan
Berminggu lamanya mak datin menghias rumah
Dengan perabut dan hiasan lain
Dari luar negeri.

Malam nanti ada dinner hari raya
Di sebuah hotel ternama
Orag kaya dan isteri akan hadir
Bersama tetamu lain
Suami isteri berpakaian sedondon
Mahal dan berjenama.

Di majlis raya itu
Dihidangkan dengan makanan lazat
Jamahlah apa saja
Tapi orang kaya
Kencing manis dan masalah jantung
Kelazatan hidangan terhalang juga

Maka keduanya bersama tetamu lain
Bercerita perihal shooping di luar negeri
Sangat seronok dan megah
Sang suami bercakap mengenai busines
Dan projek dengan segala lingkarannya
Demikianlah dua wajah hari raya.

A. Shukur Harun
Subang Jaya, 1 Shawal 1438

CATEGORIES
TAGS