Dun diwakili MB Perak pun ramai miskin, bidas Pemuda Amanah

Dun diwakili MB Perak pun ramai miskin, bidas Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mata sendiri menjadi saksi sejauh mana kemiskinan mencengkam sebahagian masyarakat di Perak. Itu pengalaman Pemuda Amanah Perak yang kerap turun melihat realiti sebenar kehidupan masyarakat di negeri mereka.

Pengarah Komunikasinya, Muhammad Faeez Azahar berkata, pendedahan laporan kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bahawa Perak menjadi negeri kedua mempunyai isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 sebulan bukanlah satu yang mengejutkan.

Turut didedahkan KRI pada 29 Ogos lalu, sebanyak 81.1 peratus isi rumah di Perak berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.

“Tidak dapat disangkal lagi, masih banyak masyarakat yang hidup dalam serba kemiskinan di semua tempat termasuklah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang diwakili oleh Dr Zambry Abd Kadir sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, Zambry merupakan Adun Pangkor dan menjadi Menteri Besar Perak pada 12 Mei 2009 selepas tiga Adun Pakatan Rakyat ketika itu menjadi Adun Bebas.

Menurut Faeez, pendapatan isi rumah di Perak masih di tahap rendah berbanding negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Selangor walaupun kos sara hidup semakin meningkat.

“Himpitan kos hidup ini semakin terbeban selepas pelaksanaan GST (cukai barang dan perkhidmatan) yang menyebabkan segala kos meningkat tanpa mampu dikawal oleh kerajaan,” jelasnya.

Mengulas penafian Zambry sehari selepas pendedahan laporan KRI itu, beliau berkata, Menteri Besar itu sememangnya boleh menyangkal kajian tersebut tetapi hakikatnya laporan berkenaan menzahirkan realiti kesengsaraan rakyat bawahan yang mungkin tidak disedari oleh pemerintah.

“Zambry Abd Kadir dengan tuntas menyangkal kajian tersebut biarpun masih belum melihat secara terperinci laporan kajian yang dibuat itu,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap kerajaan negeri memandang serius laporan KRI tersebut.

“Bagi kami, kerajaan negeri wajar menerima dengan penuh berlapang dada dapatan kajian daripada pihak berkecuali seperti KRI dalam mendapatkan maklumat yang lebih tepat jujur tentang realiti yang berlaku.

“Rakyat bawahan sudah pasti menyambut baik hasil kajian ini dan berharap ada sinar dan harapan baru terhadap nasib serta masa depan mereka!” ujarnya.

Tidak berkesudahan masalah kemiskinan masih berlanjutan, Faeez menambah kerajaan sedia ada pada masa ini sudah tidak mampu untuk menyelesaikannya.

“Tanggungjawab ini wajar diberi kepada Pakatan Harapan dalam menawarkan kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab dan beramanah,” tegasnya lagi.

TAGS