Dunia Islam yang penuh kebencian dan kekerasan wajib dielak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Shamsul Maarif Ismail

Pada hari Sabtu awal bulan November yang lalu saya berkesempatan mendengar satu ucapan al-Fadhil Sheikh Dr. Muhammad bin Yahya al-Husayni al-Ninowy ketika beliau diberikan peluang memberi Ucaptama di pelancaran sebuah Ibu Pejabat Institusi Islam di Putrajaya.

Meskipun saya pernah menatap wajah beliau di kaca tv namun mendengar ceramahnya secara langsung hampir satu jam amat menggembira dan mengujakan saya.

Dr. Muhammad bin Yahya al-Husayni al-Ninowy

Alhamdulillah saya juga dapat bertemu dengan rakan baharu mewakili pelbagai dimensi tugas dan pekerjaan dan mendengar buah fikiran yang berbeza melihat sesuatu isu di dalam memelihara kedudukan agama Islam di Malaysia.
Sheikh Dr Muhammad asal dari Kota Madinah namun dilahirkan pada tahun 1966 di bumi Syria namun kini dimaklumkan menetap di Amerika Syarikat.

Dalam maklumat Wikipedia beliau dikatakan keturunan Ahlul Bait dari keturunan Saidina Husin berpegang kepada fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah mengikut aliran Al Maturidiah.

Sebagai pengkaji dan penganalisis gerakan Islam dan politik semasa, saya amat tertarik setiap butir ucapan kata-kata yang diungkapkan oleh beliau. Analisisnya terhadap isu yang melanda umat Islam agak kontemporari walaupun pada penampilannya beliau dilihat agak tradisional.

Latar belakang pendidikan Islam dari ayahnya dan beliau juga mendapat pendidikan perubatan di Barat serta dalam masa yang sama juga mendapat pendidikan Usuluddin dan Ilmu Hadith di Syria dan Universiti Al Azhar Mesir.
Beliau banyak mengembara dan pemusafirannya ke seluruh dunia Islam termasuk Malaysia memberikan beliau satu garapan dan kefahaman Islam yang menyeluruh pelbagai  masalah dan cabaran yang melanda tanah air Islam di seluruh dunia.

Beliau memulakan hampir separuh ceramahnya dengan membaca beberapa ayat dari Surah Yusof dan menghuraikannya satu persatu pengajaran dari kisah Nabi Yusof serta ujian demi ujian yang dialami olehnya termasuk pemenjaraan Nabi Yusof a.s  di bumi Mesir selama 17 tahun sebelum Allah swt mengurniakan pertolonganNya dan mendapat kemudahan dan kelebihan.

Beliau mengetengahkan sikap pemaaf dan kesabaran Nabi Yusof a.s  harus dicontohi oleh mereka yang berjuang di jalan Allah swt. Khidmat dan sayangnya pada bumi Mesir walaupun ianya bukan tanah kelahirannya menjadi teladan dalam hal berbakti kepada Negara.Pendekatan bagaimanakah yang harus di bawa oleh masyarakat  pada hari ini ?

Kata beliau Nabi Yusof s.a  memilih jalan kesabaran, tidak mengguna kekerasan dan mengutamakan nilai rahmah atau “mercy” kepada umat manusia. Pendekatan yang dikemukakan sewajarnya adalah penyucian (tazkiah), kesabaran yang amat tinggi (Sabrun jamil), setia (wafa’) dan kemaafan. Jauh sekali dari mengetengahkan rasa benci sesama manusia hatta beliau dipenjara begitu lama dan pernah menjadi tawanan dan dijual sebagai hamba.

Pendekatan Islam 
Menurutnya lagi pada era sekarang pendekatan perjuangan Islam harus mengambil kira semua kaedah fiqah. Seluruh kaedah fiqah seperti fiqah keutamaan (aulawiat), fiqah keseimbangan (muwazanat), fiqah konsekuensi (ma’alat)  dan lain-lain lagi harus semuanya digunakan dan diaplikasikan dalam mencari jalan penyelesaian kepada sebarang isu yang diperlukan oleh masyarakat dan umat.

Menurut beliau dunia hari ini sedang berada di era fitnah yang besar. Pemikiran Islam garis keras atau ektremisme akan terus berleluasa dan dalam masa yg sama faham atheisme juga akan bertambah subur di Barat dan pelbagai belahan dunia. Bagi pandangan saya , hal ini merupakan lumrah kehidupan iaitu kekerasan akan melahirkan satu tindak balas ekstrem yang lain pula.

Namun satu hal yang sangat ajaib Islam di Barat semakin mendapat perhatian. Meskipun peratus rakyatnya tidak beragama semakin tinggi, jumlah yang menerima agama Islam sebagai cara hidup berlipat kali ganda.

Mengikut statistik  penduduk Muslim di UK kini 4.1 juta orang pada  2016 akan bertambah kepada 13 juta orang pada 2050, meningkat dari 6.3 peratus kepada 16.7 peratus.

Di Eropah juga Institut Kajian Pew Research Centre menyatakan bahawa jumlah penduduk Muslim di Eropah akan bertambah kepada 50 juta pada 2050.

Meskipun begitu banyak tekanan Barat terhadap Islam namun dengan kadar pertumbuhan keluarga orang Islam dan faktor penghijrahan ianya akan mengubah senario demografi umat Islam di Barat pada masa akan datang.

Dr Muhammad dalam ucapannya menyatakan bahawa Agama Islam yang syumul dan menyeluruh dalam seluruh aspek kehidupan namun yang ditonjol pada hari ini adalah tertumpu kepada hal yang bersifat menghukum dan bukannya nilai asasi agama Islam yang membawa nilai kasih sayang dan rahmah. Teras agama untuk mewujudkan keamanan dan kesatuan menjadi terpinggir digantikan dengan kekasaran dan kekerasan atas nama agama.Ini yang dikesali oleh beliau.

Dunia Islam dan fitnah
Dunia Islam hari ini memang menghadapi zaman fitnah yang dahsyat. Ketidakstabilan dan peperangan yang tidak berkesudahan di rantau Timur Tengah, bumi Palestin yang masih terjajah, peperangan yang belum selesai menuntut kemerdekaan di Afghanistan, pembersihan etnik Rohingya di Myanmar dan keganasan atas nama agama di Somalia dan Nigeria perlu dijadikan iktibar. Tidak lupa tuntutan umat Islam di Selatan Thailand dan juga Filipina. Semuanya menuntut keamanan jangka panjang.

Menentang kezaliman dan keharusan berperang dibenarkan oleh agama Islam namun di sana ada dasar-dasar dan syarat yang ketat yang harus terpenuhi terlebih dahulu. Islam juga membuka peluang untuk berdamai atau mengadakan gencatan senjata, pertukaran musuh yang ditangkap serta kemungkinan untuk mendapat pengampunan. Agama Islam yang mulia dan suci tidak boleh dijadikan teras untuk menghalalkan kekerasan dan keganasan.

Jika anda ingin berpolitik atas landasan agama janganlah ia mengabsahkan tindakan anda atas nama agama walaupun ianya bertentangan dengan adab dan nilai Islami. Agama Islam itu tetap suci dan mulia namun yang melakukan kesilapannya adalah manusia muslim yang tidak suci dan maksum. Di sini kita harus melihat perbedaan antara kesucian Agama Islam dengan tatalaku dan kelola individu yang mungkin dicemari nafsu dan virus maksiat yang gagal mengawal diri dari tunduk kepada Allah swt.

Politik dalam Islam sangat luas cakupan dan ruang keharusannya. Politik itu serba mungkin dan mewujudkan banyak kekhilafan dan perbezaan. Itu biasa dalam berpolitik kerana mencari maslahah terbaik untuk masyarakat dan Negara selagi tidak keluar dari landasan asas agama.

Namun menggunakan nama agama serta lambang agama untuk kepentingan politik harus dielakkan. Berpolitiklah secara sihat dan mengikut lunas undang-undang.

Agama Islam hendaklah terus dijunjung dan dipelihara demi kemuliaan dan kesuciannya. Tujuan Islam untuk membawa rahmah, memakmurkan bumi serta membangunkan peradaban manusia hendaklah terus dipromosikan dengan seluruh pendekatan yang penuh berhikmah, penuh kesabaran dan penuh kasih sayang dan kecintaan sesama insan demi kebaikan seluruh manusia dan alam.

CATEGORIES