Dunia tanpa kebencian 2018

Dunia tanpa kebencian 2018

Dunia mengenali perkataan AMAN, DAMAI atau PEACE dalam berbagai bahasa. Peperangan diisytiharkan atas nama mahu membawa keamanan dan dalam proses itu meninggalkan berjuta mayat bergelimpangan dan negara yang hancur musnah. Allah berfirman:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya Kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.” (QS. Al-Baqarah 2: Ayat 11)

Apakah dunia akan aman tanpa peperangan ataukah dunia akan jadi aman melalui peperangan? Bukankah sepanjang sejarah tamadun manusia peperangan menjadi sebab kepada wujudnya kedamaian? Tidak ada dalam sesuatu masa pada sesuatu ketika dunia tidak aman daripada peperangan melainkan peperangan akan berlaku.

Pertembungan Rom lwn Farsi, Farsi lwn Mesir, Rom lwn Islam, Islam lwn Farsi, Salib lwn Islam, peperangan Eropah atas nama agama Kristian dan peperangan Eropah atas nama agama Kristian dan peperangan dunia I dan II. Post perang dunia di Vietnam, Korea Utara, Perang Telok I dan II, Arab lwn Israel dan kini Syria, Yemen berterusan tanpa henti.

Apakah Aman atau Damai satu utopia? Saya tidak pasti apakah perkataan ‘utopia’ itu terlalu berlebihan pilihan perkatannya kerana ia mirip kepada satu khayalan dan dengan itu, jika terima kenyataan ini, ia bermakna kita tidak percaya bahawa Damai itu sesuatu yang boleh dicapai. Saya mengatakan tidak sedemikian, Damai mampu tercapai, persoalannya ialah untuk siapa dan kepada siapa ia boleh terlaksana?

Kita hanya perlu mencari sebab mengapa peperangan berlaku apa faktor dan cetusannya? Sepanjang sejarah tamadun manusia para penganalisis meletakkan faktor sumber adalah merupakan sebab peperangan berlaku. Dalam sebuah buku ‘A World Without Islam’ pengarangnya Graham E Fuller menyatakan, tanpa peperangan Islam dengan kuasa Rom Farsi dan Kristian Eropah, konfik antara kuasa besar kerana berebut sumber akan tetap berlaku.

Kenyataan ini seolah-olah menyatakan bahawa agama atau perjuangan taksub kaum bukanlah penyebab kepada peperangan tetapi ia lebih kepada perebutan sumber bagi mengekalkan bekalan untuk empayar masing-masing yang semakin membesar termasuk mengutip termasuk mengutip cukai untuk mengisi kantung empayar.

Asas pemikiran Graham seolah-olah ingin membuktikan bahawa peperangan atas tujuan agama tiada kaitan dengan konflik dunia, peperangan adalah tentang perebutan sumber. Sekurang-kurangnya teori Graham tentang konflik dunia melegakan kita semua bahawa agama atau ketaksuban ras bukanlah pencetus konflik. Ini bermakna peluang kedamaian masih cerah jika masalah sumber dunia dapat diatasi dengan bijaksana.

Kalau kita menerima perebutan sumber adalah punca utama, mengapa kalau begitu agama menjadi simbol dan retorik peperangan, mengapa supremasi kaum menjadi dendangan dan paluan perang? Bukankah Perang Salib meletakkan simbol agama sebagai dorongan? Bukankah Hitler mendoktrinkan untuk kegemilangan bangsa Aryan sebagai paluan perangnya?

Saya boleh bersetuju dengan Graham bahawa tujuan konflik adalah isu sumber dan untuk mobilisasi rakyat ke arah isu agama dan kaum digunakan. Dengan kata lain agama dan ketaksuban kaum bukanlah dipercayai sebagai objektif tetapi hanyalah dieksploitasi untuk tujuan lebih besar iaitu mengekalkan kuasa yang ada.

Oleh kerana agama dan sentimen kaum itu lebih dekat di hati orang awam dan lebih mudah ‘disamarkan’ menjadi objektif utama, maka jadilah agama dan kaum itu sebagai ‘sebab’ untuk melancarkan peperangan. Walhal ia sebenarnya hanyalah topeng!

Saya tetap menamakan agama dan kaum sebagai sebab konflik dan permusuhan kerana tabiat intrinsik agama adalah untuk mencapai kedamaian dan hidup secara rukun antara berbagai agama yang wujud. Saya tidak fikir ada agama yang secara intrinsiknya mendedahkan dirinya menjadi punca kemusnahan dan kerosakan atau fasad.

Tujuan besar agama atau Maqasid Ad Din adalah Membaiki Kerosakan, Memastikan Keadilan Tertegak dan Memuliakan Manusia. Jika kita berpendapat ‘agama’ menyuruh kita berperang maka hakikat agama itu sendiri telah hilang identitinya dan apabila identiti agama hilang, ia tidak layak dipanggil agama lagi. Mereka yang berkata ‘perang kerana agama’ sebenarnya berkata ‘perang kerana hawa nafsu!’ Itulah wajah sebenar mereka.

Satu lagi sebab mengapa pihak tertentu khususnya yang berkuasa dan idamkan kuasa ‘tergoda’ menggunakan agama dan kaum ialah adanya faktor azali iaitu ‘supply dan demand’. Sepanjang sejarah, ada kelompok ‘penunggang agama dan kaum’ yang menawarkan ‘khidmat’ mereka. Mereka sebenarnya tidak mewaikili ‘agama’ atau ‘kaum’ tetapi hanyalah ‘pedagang agama’ menjaja atas nama Jesus atau Muhammad atau Buddha atau Shiva.

Mereka sebenarnya memperdagangkan ‘agama’ untuk tujuan dunia tetapi oleh kerana ia diramuankan dengan wajah agama dan simbolnya maka orang ramai terpukau. Suasana ini digambarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai suasana ‘Fitnah’ bahawa seseorang itu tidak dapat bezakan antara suruhan agama dan larangannya sehingga Nabi menyebut:

“…Siang menjadi mukmin, malam menjadi kafir, adakalanya Malam menjadi mukmin dan siang menjadi kafir..” malah Nabi menyebut sebabnya amat jelas: “Seseorang menjual agamanya dengan (harga tertentu) dengan tujuan mendapat habuan dunia yang sedikit” (Hadith riwayat Muslim)

Hadis di atas sering dikaitkan dengan berbagai fitnah yang dimaksudkan dengan makna ‘ujian’ di akhir zaman kerana nipisnya iman. Ia betul, tetapi hasrat utama Hadis ini pada penghujungnya adalah untuk memberi peringatan golongan yang disebut khusus iaitu dia menjual agamanya untuk tujuan dunia yang sedikit.

Orang awam yang nipis imannya dengan berbagai maksiat sukar menjustifikasi dengan alasan agama tetapi golongan agamawan, pendita, padri mahupun ulamak, mereka ada kemampuan berhujahkan alasan agama. Mereka lebih layak dalam hadis ini dikaitkan dengan ‘menjual agama’ bukan untuk maksiat zina atau minum arak tetapi menggunakan agama sebagai bahan jualan.

Selagi kelompok ini ada di pasaran para penguasa mendapati bekalan yang cukup untuk menyemarakkan semangat bagi mencapai hasrat merebut sumber. Maka berlakukah ‘peperangan atas nama agama’.

Ada juga usaha untuk menggunakan nama agama dengan ‘mensongsangkan’ agama daripada makna penghayatan kedamaian kepada permusuhan. Caranya ialah dengan mendoktrinkan pengasingan dan isolasi tanpa disedari seperti ‘teori konspirasi’, mengkategorikan kerakyatan kepada harbi dan zimmi serta sentiasa prejudis sesama warganegara. Tanpa disedari ‘pedagang agama’ menimbulkan sikap pengasingan diri sedikit demi sedikit ke atas pengikutnya dalam realiti masyarakat majmuk.

Ini semua dilakukan atas nama Islam merujuk kepada ‘hukum-hukum fiqh’ yang tidak kontekstual tetapi sekadar tekstual. Dari penghayatan agama yang sekadar tekstual. Dari penghayatan agama yang sepatutnya menghasilkan peribadi inklusif, hormat sesama insan, ‘hidup beragama’ menjadi eksklusif, isolasi dan hubungan kebencian.

Jika agama dan kaum hanyalah eksploitasi untuk tujuan merebut sumber, kita hanya perlu menyelesaikan dua perkara demi mencapai kedamaian. Pertama menguruskan perebutan sumber dan mengembalikan erti keberagamaan sebenar.

Mengurus sumber dunia mesti dimulakan dengan set minda yang jelas, iaitu dunia harus berpindah daripada penggunaan sumber yang semakin kehabisan kepada sumber yang lebih lestari atau sustainable. Sumber tenaga guna semula mampu mengelakkan kebergantungan sumber tenaga fosil yang dijangka akan sampai tahap kekurangan kalaupun tidak kehabisan total dalam 2030. Usaha pembangunan dalam kerangka pemikiran lestari atau Sustainable Developement Growth (SDG) mengurangkan stress faktor sumber yang semakin kehabisan lantaran mampu mengelakkan peperangan perebutan sumber.

Bagi menangani isu agama, kita perlu kembali kepada makna beragama yang sebenar yang sarat dengan erti kedamaian, kemanusiaan dan membela keadilan tanpa mengenal batas kaum dan agama. Tiada siapa yang eksklusif dalam soal dosa pahala, keilmuan adalah eksklusif dalam soal dosa pahala, keilmuan adalah kelebihan untuk menyampaikan kepada orang ramai dengan hikmah dan menyebarkan erti kemanusiaan dan rahmat Islam. Keilmuan bukan alasan untuk menghukum atau mengkufurkan sesiapa sesuka hati. Kaedah daripada kalangan agamawan sebegini menyumbang kepada agama diradikalisasikan dan punca kepada perpecahan dalam masyarakat.

Jambatan kedamaian ialah dengan berdialog dan menghentikan cacian antara agama dan kaum. Kita tidak boleh membiarkan cacian dan makian antara kaum dan agama menjadi norma budaya kita malah perlu dianggap perbuatan tidak bertamadun ini sebagai satu jenayah.

Islam sarat dengan mesej hidup rukun dan damai antara agama. Malah perkataan Islam adalah dari makna salam iaitu damai. Mesej Islam yang harmonis diucapkan dalam ucapan salam. Allah menuntut hambanya dengan membalas ucapan baik dengan sesuatu yang lebih baik atau seumpamanya.

Peribadi muslim sejati ialah peribadi yang suka buat baik dan melarang membuat kerosakan. Begitu juga Allah melarang membunuh satu nyawa manusia sesuka hati kerana perbuatan tersebut adalah seumpama kita membunuh seluruh nyawa manusia di bumi. Memelihara satu nyawa melalui kedamaian di bumi. Memelihara satu nyawa melalui kedamaian adalah seumpama kita menghidupkan nyawa manusia keseluruhannya.

Penghayatan di atas adalah perjuangan besar untuk memacakkan panji kedamaian. Dalam dunia yang penuh konflik dan berdarah mesej 2018 ini adalah besar makna dan nilainya. Dunia akan lebih aman tanpa perebutan sumber yang semakin kehabisan dan menuju kepada bingkai fikir Pembangunan Lestari.

Kepada penunggang agama dan kaum, mesej ini adalah amaran agar jangan bermain dengan api kelak ia akan membakar diri sendiri. Pilihlah kedamaian pasti tiada yang dianiyai, SELAMAT TAHUN BARU 2018.

“HARAPAN UNTUK SEMUA”

CATEGORIES