Duta besar wanita pertama Iran ulas perjanjian nuklear

Duta besar wanita pertama Iran ulas perjanjian nuklear

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perjanjian nuklear yang ditandatangani antara Iran dan Negara 5+1 (Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Rusia serta Jerman) bulan lalu adalah langkah penting kepada keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

Duta Iran ke Malaysia Marzieh Afkham berkata perjanjian itu yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) adalah tanda jelas kuasa diplomasi negara itu, selain membayangkan peranan dan kepentingan dialog dan rundingan untuk menangani masalah dan krisis.

“Berasaskan dasar dan logik terhadap dialog dan interaksi, Iran bersedia dan akan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk mempromosikan keamanan, keselamatan dan menjalin persahabatan sambil membuktikan komitmen sebagai negara Islam yang penyayang dan sisi rasional Islam kepada dunia,” katanya.

Marzieh, yang juga duta wanita pertama Iran selepas Revolusi Islam, berkata demikian ketika sambutan ulang tahun ke-37 Hari Kejayaan Revolusi Islam di sini malam ini.

Acara yang disambut 11 Feb setiap tahun menandakan berakhirnya Revolusi Islam yang berlaku dari Jan 1978 hingga Feb 1979, yang bertujuan menggulingkan Dinasti Pahlavi.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, serta duta-duta dan pesuruhjaya tinggi yang berpengkalan di Malaysia.

Marzieh turut berkata dasar luar Iran selepas Revolusi Islam kini tertumpu kepada kerjasama dengan pelbagai negara terutama negara Islam dan jiran.

Mengenai hubungan Iran-Malaysia, Marzieh berkata perdagangan adalah antara asas kukuh kepada hubungan dua hala itu, sambil menambah lebih 40,000 rakyat Iran berada di negara ini sebagai pelajar, pensyarah, pedagang dan ahli perniagaan.

“Kami harap hubungan antara Malaysia dan Iran akan bertambah kukuh dalam semua bidang termasuk ekonomi, politik dan kebudayaan berdasarkan keputusan positif yang mewujudkan jalinan yang lebih rapat antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Rohani berkata beliau komited untuk berkongsi pengalaman mengenai penglibatan wanita dalam proses pembangunan ekonomi bersama Marzieh.

Katanya, Duta Iran itu akan mengadakan kunjungan hormat ke kementeriannya esok untuk mempelajari budaya penglibatan wanita dalam pembangunan di negara ini.

“Malaysia mempunyai banyak dasar dan akta yang secara langsung berkait-rapat dengan wanita dan mungkin aspek ini akan menjadi agenda utama lawatan Marzieh esok dan tajuk perbincangan termasuk wanita, keluarga dan berkaitan komuniti,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, malam ini.

Rohani juga berkata Malaysia bangga dan gembira dengan pelantikan Marzieh pada November lepas, berikutan keputusan Iran melantik seorang wanita sebagai duta besar buat kali pertama sejak Revolusi Islam tahun 1979.

Marzieh, 54, sebelum ini memegang jawatan jurucakap Kementerian Luar Iran.

TAGS