Dyana Sofya tegur Pemuda Umno jangan rendahkan Melayu

Dyana Sofya tegur Pemuda Umno jangan rendahkan Melayu

Tindakan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii menyenaraikan ‘bukti’ DAP yang didakwa tidak menghormati kaum Melayu disanggah pemimpin muda Melayu DAP, Dyana Sofya.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii menyenaraikan ‘bukti’ DAP yang didakwa tidak menghormati kaum Melayu disanggah pemimpin muda Melayu DAP, Dyana Sofya.

Dalam satu artikel bagi menjawab kenyataan Razlan, Dyana berkata semua individu dilayan secara sama rata dalam DAP sedangkan pemimpin Umno memandang ahlinya sebagai ‘macai’ manakala rakyat sebagai ‘pak turut’.

Beliau memulakan serangan dengan membangkitkan kenyataan Ahli Parlimen Umno Langkawi bahawa Malaysian Official 1 (MO1) ialah Yang di-Pertuan Agong yang secara jelas menghina ketua agama Islam dan Raja-raja Melayu.

Malah ujar Dyana, Umno tidak henti-henti menghina orang Melayu dengan menggunakan ketakutan bagi melemahkan mereka untuk kepentingan politik.

“Razlan perlu faham bahawa kaum Melayu ingin bebas dari sebuah parti politik yang kononnya mewakili mereka tetapi hakikatnya menipu mereka.

“Malangnya apabila ada mana-mana orang Melayu yang berani menentang Umno, mereka terus diberi amaran bahawa seluruh kaum itu akan ‘musnah’ jika Umno kehilangan kuasa.

“Modus operandi ini telah lama digunakan dan kini, ia tidak lagi relevan – sama seperti politik perkauman yang dibawa mereka,” bidas ahli jawatankuasa eksekutif Dapsy Kebangsaan itu.

Menyentuh tentang rang undang-undang Akta 355, beliau turut mempersoalkan dakwaan Razlan kononnya DAP menentang Islam kerana menentang rang undang-undang tersebut sedangkan sekutu BN seperti Gerakan, MCA serta MIC yang mengkritik pelaksanaan hudud tidak pula dituduh sebagai tidak menghormati Melayu dan Islam.

Merujuk kepada Oktoberfest, Dyana menjelaskan bahawa ia adalah perayaan tahunan kaum Bavarian di Jerman di mana masyarakat akan berkumpul dan bersama-sama meraikannya dengan makanan, muzik, permainan, pertunjukan pertanian dan sebagainya.

Perayaan yang kini disambut di seluruh dunia itu, ujarnya adalah satu festival antarabangsa dan bukan semata-mata tentang meminum arak.

“Festival Oktoberfest yang dihadiri oleh ahli-ahli parlimen DAP itu bukannya dianjurkan oleh DAP, tetapi mereka hadir atas dasar jemputan.

“Adakah Razlan cuba mencadangkan bahawa ahli-ahli politik tidak harus menghadiri sebarang majlis hanya kerana alkohol dihidangkan di sana?

“Jika itulah pendapatnya, ia bermakna menteri-menteri kerajaan juga perlu berhenti menghadiri sebarang majlis diplomatik (yang menghidangkan alkohol),” tingkah beliau.

Kritikan Razlan terhadap ucapan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming di twitter menggunakan frasa ‘In God we trust’ dan ‘Lord, guide our nation to you’ turut disentuh Dyana.

Menurutnya, hanya kerana doa-doa ini ditulis dalam bahasa Inggeris tidak secara automatik menjadi doa untuk agama Kristian.

“Jika ia benar sekalipun, ia sama sekali tidak menghalalkan tindakan Razlan menganjurkan demonstrasi ganas di ibu pejabat DAP. Sepanjang pengetahuan saya, kita masih belum menerima sebarang permohonan maaf untuk kekecohan yang timbul walaupun laporan polis telah dibuat,” ujarnya.

Dyana juga mengingatkan Razlan yang disifatkan jahil tentang sistem pilihan raya di Malaysia bahawa Teluk Intan adalah kerusi Parlimen, dan mustahil bagi sesiapa yang bertanding di kerusi tersebut boleh menjadi calon Menteri Besar Perak.

Berhubung majlis perbandaran, Dyana menjelaskan bahawa di Selangor 60 peratus ahli majlis perbandaran adalah Melayu walaupun orang Melayu hanya mewakili 53 peratus dari penduduk Selangor.

Di Pulau Pinang ujarnya, ahli majlis perbandaran yang dilantik mewakili penduduk Pulau Pinang mengikut etnik secara berkadar.

“Ia adalah konsensus Pakatan Harapan untuk mewakili seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum dan etnik,” tegas beliau.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Dapsy Perak itu juga menasihati Razlan agar tidak menganggap orang Melayu sebagai ‘macai’ yang mudah rasa terhina serta tidak boleh bertoleransi dengan perbezaan etnik dan budaya.

“Saya tidak terkejut dengan perkara ini kerana beliau mungkin dilatih supaya menjadi ketua ‘macai’, seperti yang dimahukan oleh partinya itu.

“Saya menggesa Razlan supaya mempertimbang semula pandangan beliau dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama orang Melayu kerana memandang rendah kepada kebijaksanaan mereka,” katanya.

TAGS