Ekonomi gawat : Pemimpin Umno persenda rakyat, tegas Pemuda Amanah

Ekonomi gawat : Pemimpin Umno persenda rakyat, tegas Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Reaksi sebahagian pemimpin Umno berjawatan menteri dalam kerajaan yang gagal mengatasi kesukaran hidup dialami semua pihak pada masa ini tidak logik serta mempersendakan akal dan hati rakyat, tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

Menggesa supaya mereka tidak lagi bermain wayang kulit, beliau berkata, kerajaan Umno-BN yang memerintah negara ini sejak merdeka harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesusahan hidup rakyat ekoran kegawatan ekonomi semasa negara.

“Rata-rata segmen rakyat sama ada yang tinggal di bandar, semi bandar mahupun luar bandar sedang merasai keperitan hidup akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Harga minyak kekal tinggi walaupun harga minyak dunia semakin menurun, manakala tarif elektrik pula akan naik lagi tahun depan.

“Dalam kesukaran hidup yang dialami rakyat sekarang, kerajaan gagal mengatasinya dan menteri-menteri pula gagal menyantuni denyut nadi rakyat,” ujar beliau dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, rakyat cemas dan perit ketika menuju ambang 2016 kerana terpaksa bergelut dengan perbelanjaan tinggi bagi persiapan pakaian dan yuran anak yang bersekolah tanpa usaha kerajaan membantu rakyat terjejas untuk mengurangkan beban berkenaan.

Mengulas saranan Datuk Ahmad Maslan supaya rakyat berpendapatan rendah melakukan dua pekerjaan, Faiz menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sebagai amat memalukan.

“Dalam keadaan peluang pekerjaan yang semakin sukar, bagaimana boleh rakyat boleh mencari kerja tambahan. Tindakan kerajaan membawa masuk begitu ramai pekerja asing terutama dari Bangladesh sudah pasti menyukarkan lagi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Sekalipun rakyat dapat melakukan dua kerja, ia akan menjejaskan prestasi kerja akibat keletihan dan akhirnya mengundang tindakan buang kerja yang memberi impak negatif kepada sosio ekonomi rakyat,” ujar peguam itu.

Tuding jari tidak selesai masalah

Pada masa sama, ujarnya, menuding jari kepada pemimpin negara terdahulu bukan satu bentuk penyelesaian kepada permasalahan rakyat termasuklah isu kenaikan kadar tol dan tambang ERL sebaliknya sebagai kerajaan yang memerintah, tindakan segera harus diambil antara pihak kerajaan dengan pemilik konsensi.

“Tiada justifikasi pemilik konsesi sedang mengalami kerugian dan apa salahnya sebarang kenaikan yang dijanjikan oleh kerajaan ditangguhkan sehingga masalah ekonomi rakyat ini diselesaikan,” hujahnya sebagai reaksi ke atas dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, kelmarin kononnya perjanjian konsesi sebelum ini adalah berat sebelah.

Menurut Faiz lagi, ucapan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaludin ketika Perhimpunan Agung Umno lalu kononnya akan menentang sebarang kenaikan harga barang juga menimbulkan persoalan.

“Beliau (Khairy) adalah salah seorang menteri ketika keputusan membenarkan kenaikan tambang ERL dan caj tol dibuat oleh jemaah menteri.

“Apakah yang beliau lakukan ketika keputusan tersebut dibuat, sedangkan sistem ‘westminster’ yang diamalkan adalah berpremiskan kepada tanggungjawab bersama jemaah menteri.

“Lagipun, kata-katanya hanyalah retorik politik simpati kerana kebanyakan harga barang dan caj perkhidmatan pengangkutan awam telah pun diluluskan lebih awal,” ujarnya lagi merujuk kepada Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan itu.

Ekoran keadaan ekonomi yang menghimpit hidup pada masa ini, Faiz berkata, kemarahan rakyat sudah sampai ke tahap “breaking point” apabila ramai semakin hilang sabra.

Sehubungan itu, jelas Faiz lagi, satu perhimpunan aman #ShutdownSungaiBesi telah dirancang oleh sebilangan rakyat bagi menyatakan kemarahan dan ketidakpuashatian mereka terhadap situasi kritikal ekonomi semasa negara.

2016 tahun subsidi hapus, inflasi tinggi?

Dalam hal berkaitan, ketibaan fajar 1 Januari 2016 ini menyaksikan rakyat yang sudah sedia terbeban akan lebih sengsara apabila subsidi beras berjumlah RM550 juta untuk rakyat bakal dihapuskan sekaligus menyaksikan kenaikan harga bahan makanan asasi penduduk negara ini.

Selain pemberhentian subsidi ke atas petrol dan gula, subsidi tepung sebanyak RM105 juta juga akan dimansuhkan mulai tahun baharu ini manakala penghapusan subsidi minyak berjumlah RM950 juta turut memberi kesan domino terhadap kos sara hidup majoriti rakyat.

Sementara itu, penganalisis ekonomi meramalkan terdapat kemungkinan peningkatan tekanan inflasi domestik jika kerajaan memutuskan untuk mengurangkan subsidi bagi produk lain tahun depan.

Mengikut jangkaan Affin Hwang Capital Research dipetik dari laporan Berita Harian semalam, inflasi di negara ini akan berlegar pada paras antara 2.5 hingga 3.0 peratus berbanding sasaran rasmi antara 2.0 hingga 3.0 peratus.

TAGS