Ekonomi negara dijangka perlahan, ‘kokok’ Najib dipintas adiknya

Ekonomi negara dijangka perlahan, ‘kokok’ Najib dipintas adiknya

Belum sempat perdana menteri dan Putrajaya hendak 'berkokok' selepas pengumuman pertumbuhan 5.8% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun ini, tokoh perbankan Datuk Nazir Razak yang juga adik Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa pertumbuhan ekonomi bagi separuh kedua tahun 2017  dijangka lebih perlahan.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan dalam suku pertama (1Q) 2017 sebanyak 5.6% dengan purata pertumbuhan pada separuh tahun 2017 (1H 2017) di tahap 5.7%.

“Nazir dan juga penganalisis dari bank-bank pelaburan lain, meramalkan suku ketiga (3Q) dan keempat (4Q) tahun 2017 ini, ekonomi akan tumbuh lebih perlahan.

“Ini menjadikan separuh tahun kedua (2H 2017) purata pertumbuhan lebih rendah. Pun begitu, pertumbuhan KDNK tahun 2017 pastinya lebih tinggi berbanding pencapaian 4.2% untuk 2016,” ulas pengarah strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dr Dzulkefly, disamping faktor ‘pertumbuhan’ (growth) sebagai target ‘ekonomi makro’ (macroeconomy), dua lagi aspek ekonomi makro yang tidak kurang pentingnya bagi sesebuah negara adalah inflasi dan kadar pengangguran.

Sehubungan itu, beliau menasihati Datuk Seri Najib Razak agar tidak semata-mata bergantung kepada angka-angka pertumbuhan ekonomi apabila menjelaskan kepada rakyat tentang ekonomi negara.

“Amat menasabah Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), merakamkan bahawa data ekonomi pertumbuhan ini tidak pula diterjemahkan dalam realiti kehidupan rakyat.

“Wujud satu ‘disconnect’ atau ‘kesenjangan’ antara data ekonomi dan sentimen serta realiti rakyat,” katanya.

Perkara ini, tambah Dr Dzulkefly disahkan oleh kajian tentang Indeks Sentimen Pengguna (ISP) oleh Malaysian lnstitute Economic Research (Mier).

ISP negara, jelas beliau masih berada di bawah ‘aras optimistik’ 100 dengan 76.6% pada suku tahun pertama kepada 80.7% pada suku tahun kedua.

Namun pada pada suku tahun ke-4 2016, ujarnya lSP jatuh ke paras 69.8% menunjukkan kegusaran rakyat dan pengguna.

{loadposition myposition}

Merujuk kepada inflasi, Dr Dzulkefly berkata tahap inflasi negara dianggarkan berada pada 3% hingga 4% sepanjang tahun ini ketika kenaikan gaji adalah amat minima dan kenaikan harga rumah sebagai contoh berlipat kali ganda.

“Kumpulan belia dan golongan muda sememang tidak tertarik dengan angka pertumbuhan ini. Mereka mahu tahu, bagaimana angka ini memberi kesan dan kebaikan kepada mereka di segi peluang pekerjaan dan mendapat gaji yang munasabah dan ‘bermaruah’.

“Pertumbuhan 4.2% KDNK tahun 2016 lalu, tidak menjamin kesejahteraan hidup serta gaji atau tahap upah mereka. Sesungguhnya, kenaikan gaji secara ‘penengah’ (median) dan bukan purata (average) tahun 2016 adalah hanya RM20 sebulan (setelah diambil kira faktor inflasi).

“Sesungguhnya gaji purata golongan graduan baru dari 2007-2015, mengambil faktor inflasi, tidak banyak berubah,” ujarnya.

Kerajaan jelas beliau, mesti diingatkan bahawa menangani pengangguran juga adalah salah satu objektif atau target ekonomi makro.

Dengan pertumbuhan ekonomi tahun lalu, jumlah yang menganggur katanya meningkat 13% berbanding waktu yang sama.

“Rata-ratanya pekerjaan yang dijana adalah dalam rantaian nilai-tambah yang rendah sekaligus menjadikan cakap-cakap tentang ekonomi berpendapatan tinggi satu impian.

“Yang paling parah adalah pengangguran di kalangan belia. Pengangguran di kalangan belia mencecah hampir 11% yakni 3 kali ganda kadar pengangguran keseluruhan di negara ini (yakni 3.1%),” jelas beliau.

Menurutnya, apa yang membimbangkan 23% penganggur di kalangan belia adalah kalangan graduan dengan menteri pendidikan tinggi mengakui seramai 54,103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing pada tahun lepas berbanding 238,187 siswazah.

“Apakah yang Najib hendak berbangga tatkala kerajaan gagal membekalkan pekerjaan? Itu belum lagi kita bercakap tentang pekerjaan yang memberi upah dan gaji yang tinggi. Sudahlah graduan ini berhutang kurang lebih RM30,000 kepada PTPTN bergantung kursus yang mereka ikuti, kini ancaman pengangguran mencekik mereka,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan supaya meningkat industri hiliran bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda termasuk graduan.

“Secara lebih khusus contohnya, yang perlu dilaburkan Felda dan FGV adalah pelaburan atau M&A atau ‘Penggabungan dan Perolehan’ yang membangunkan industri hiliran (downstream activities) yang berteraskan kelapa sawit.

“Bukan melebarkan ladang dengan pembelian Eagle High Plantation yang penuh kontroversi itu dengan harga 2.5 kali ganda harga pasaran,” ujar beliau.

Tulisan Dr Dzulkefly boleh diikuti dalam mingguan Amanah bil. 66 yang kini berada di pasaran.

CATEGORIES
TAGS