Elak bertelagah, wujud prosedur standard sekatan penceramah, seru Pemuda Amanah

Elak bertelagah, wujud prosedur standard sekatan penceramah, seru Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Nasional menyarankan agar prosedur sekatan dan larangan penceramah agama diwujudkan bertujuan mengelak konflik antara agamawan sekaligus menjaga imej Islam di mata masyarakat umum.

Naib Ketuanya, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, langkah ini diyakini akan dapat mengharmonikan suasana dan selari dengan tuntutan agama Islam yang memberi peluang dan hak untuk seseorang diadili sebaik mungkin.

“Kami yakin, tindakan tegas yang dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) bermatlamat positif untuk menjaga kesucian Islam tetapi kami gusar ianya telah memberikan persepsi tidak baik terhadap institusi tersebut dan Islam itu sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut Fakhrulrazi, pihaknya menghormati tindakan MAIJ yang melarang sebilangan penceramah untuk berceramah di negeri itu dengan kelulusan Kerajaan Negeri Johor melalui Exco Agama.

Namun beliau kesal kerana larangan itu telah diviralkan secara umum.

Pemuda Amanah, ujarnya melihat larangan tersebut telah memberikan gambaran negatif terhadap institusi agama Islam dan mewujudkan konflik di antara para agamawan yang mempunyai idealisme serta cara fikir yang berbeza.

“Masyarakat terutama kelompok yang berminat untuk mendalami Islam sudah pasti terkeliru apabila melihat para agamawan serta institusinya bertelagah sesama sendiri. Ia sedikit sebanyak berisiko memberi kesan terhadap penyebaran serta penerimaan masyarakat terhadap Islam itu sendiri,” ujar beliau.

Larangan tersebut, tambah Fakhrulrazi tidak disenangi sesetengah pihak kerana membabitkan tokoh-tokoh agama seperti Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainal Abidin.

Malah individu yang tersenarai, jelas beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana tidak diadili sebaik mungkin.

“Pemuda Amanah Nasional berpandangan, isu ini perlu ditangani serta diuruskan dengan penuh hikmah dalam menjaga nama baik serta keharmonian Islam yang membawa sifat ‘rahmat untuk semua’.

“Kami yakin sekiranya isu ini ditangani dengan penuh hikmah dan ilmiah, agama Islam itu sendiri akan dihormati dan disanjungi oleh semua pihak,” saran beliau.

Menurutnya, walaupun diakui majlis agama negeri-negeri mempunyai hak untuk melakukan tindakan sedemikian, namun Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) boleh mengeluarkan satu prosedur khas sebagai panduan.

“Misalnya, setiap penceramah yang ingin disekat perlu dipanggil untuk dijelaskan sebab-sebab sekatan tersebut dan mereka pula perlu diberikan ruang untuk memberikan penjelasan,” katanya.

TAGS