Enam laporan diterima tetapi keselamatan terkawal kata polis Sarawak

Enam laporan diterima tetapi keselamatan terkawal kata polis Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sebanyak enam laporan polis diterima pada hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, lapor portal berita Astro Awani.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, ACP Mohd Haris Daud berkata, daripada jumlah itu, lima kertas siasatan dibuka pihaknya.

“Ia melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan undang-undang di bawah Akta Pilihanraya.

“Kita menerima 29 permohonan permit semalam dan daripada jumlah itu 27 ceramah diadakan. Daripada jumlah itu, 20 daripada Barisan Nasional (BN) dan tujuh lagi daripada DAP

“Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat dan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu jelasnya, sehingga pukul 11.30 pagi Selasa, sebanyak lapan permohonan permit diterima melibatkan ceramah di Meradong.

Dalam pada itu, ketika ditanya senarai 20 kawasan sensitif yang menjadi perhatian polis, Mohd Harris berkata, ia termasuk Kapit, Kota Sentosa, Bitangor, Sarikei dan Bekenu.

Pada Isnin, Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya akan memberi lebih perhatian di 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sehingga tamat pilihan raya.

Tegasnya, kawalan keselamatan di kawasan sensitif tersebut masih sama seperti kawasan lain namun pihaknya lebih bersedia jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Bagaimanapun jelasnya, ia merupakan kawasan yang diberi lebih perhatian dan bukan kawasan sasaran yang akan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Tarikh mengundi ditetapkan pada 7 Mei ini.

TAGS