Erat perpaduan, awasi anasir pecah belah negara, titah YDP Agong

Erat perpaduan, awasi anasir pecah belah negara, titah YDP Agong

 

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah menyeru rakyat Malaysia supaya sedar kepentingan untuk memelihara perpaduan dan kesatuan sesama mereka selain berwaspada dengan anasir-anasir yang boleh merosakkan negara ini.

Seri Paduka bertitah perpaduan jitu dalam kalangan seluruh rakyat merupakan tonggak dan resipi kejayaan kepada kemakmuran dan pemuafakatan yang dikecapi oleh negara selama ini dan sewajarnya semua rakyat berusaha untuk mengekalkan setiap apa yang dinikmati sekarang.

“Beta menyeru seluruh rakyat untuk mengekalkan keharmonian dan kestabilan yang kita kecapi hari ini, jangan biarkan ia dirosakkan oleh anasir-anasir yang sentiasa mencari peluang untuk memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian kita,\” titah baginda dalam perutusan bersempena Hari Keputeraan rasmi baginda yang akan disambut esok.

Perutusan Seri Paduka itu disiarkan di semua stesen televisyen utama malam ini.

Dalam titah perutusan tersebut, baginda turut menyeru rakyat mengisi dan menghayati sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos lalu dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini dengan menghargai sumbangan para pejuang terdahulu yang berjuang untuk memerdekakan negara daripada belenggu penjajah.

{loadposition myposition} Baginda turut berkenan menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai pentadbiran kerajaan apabila sentiasa berusaha untuk memastikan ekonomi negara bertambah baik demi kesejahteraan rakyat termasuk menyediakan pelbagai inisiatif untuk kemudahan rakyat.

“Walaupun keadaan ekonomi global dan ekonomi negara berada dalam ketidaktentuan beta bersyukur negara kita Malaysia masih mampu mengharungi persekitaran ekonomi semasa. Pentadbiran kerajaan yang cemerlang akan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyatnya.

“Beta gembira dengan pelbagai inisiatif dan kemudahan disediakan kerajaan kepada rakyat seperti pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) jajaran Sg Buloh Kajang yang memberi impak yang sangat berkesan dalam sistem pengangkutan awam di negara kita,” titah Seri Paduka Seri Paduka turut mengambil kesempatan membuat titah ucapan tahniah kepada kesemua atlet negara yang telah mengharumkan nama negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini dan berharap kontinjen negara dapat mengekalkan momentum
untuk kejohanan lebih besar pada masa depan.

Baginda pada akhir perutusan itu turut menzahirkan titah terima kasih kepada rakyat Malaysia keseluruhannya kerana menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara. hingga mampu mencapai tahap membanggakan.

“Beta berdoa semoga negara kita Malaysia akan terus bertambah makmur, selamat sejahtera dalam pertolongan Allah SWT, insya-Allah” titah Seri Paduka mengakhiri perutusan.

CATEGORIES