Evolusi Pakatan Harapan demi negara

Evolusi Pakatan Harapan demi negara

Pakatan Harapan (PH) terbentuk pada 22 Sept 2015 untuk ‘menghidupkan semula’ Pakatan Rakyat (PR) yang berkubur pada tahun 2014. Perkataan Harapan adalah lambang semangat tidak pernah pudar agar rakyat dijamin bahawa kami komited kepada meneruskan aspirasi perubahan walau dalam saat diuji dengan leburnya PR.

Lahirnya Amanah pada 16 September 2015 beberapa hari sebelumnya adalah langkah berisiko beberapa tokoh dengan slogan Harapan Baru. Hasrat Amanah adalah untuk melihat kepercayaan rakyat dikembalikan dan direalisasikan dan alhamdulillah ia merangsangkan kelahiran PH dengan menggunakan perkataan Harapan. Usaha tersebut berbaloi dan amat bermakna.

Politik tanah air terus bergolak dengan skandal 1MDB teratas dan kepimpinan PM Najib Tun Razak dipalit berbagai dakwaan salahguna kuasa sehingga terhakis kepercayaan rakyat pada BN. Umno/BN terus tegar dengan sikap membisu malah undang-undang dibentuk untuk menekan pengkritik atas nama keselamatan negara, hasutan dan lain-lain.

Muncul dalam kemelut ini gerakan Selamatkan Malaysia tahun 2016 oleh Tun M yang kini bercakap senada dengan perjuangan PH selama ini. Lahir kemudian PPBM atau Bersatu yang dilancarkan pada awal tahun 2017 dan seterusnya satu usaha penggabungan diadakan bermula dengan PH+Bersatu yang kemudiannya Bersatu bersetuju untuk menjadi komponen PH.

Usai PH menerima rakan baru, usaha mendaftarkan PH digiatkan dengan keperluan membina sturktur kepimpinan, membentuk satu logo dan perundingan kerusi. Keputusan untuk mencapai konsensus pada usaha itu menjadi teras utama melahirkan PH.

Kesedaran bahawa kini ada dua elemen kekuatan dalam gabungan PH iaitu kekuatan Tun M dan DSAI perlu dijadikan gelombang dan ia menjadi perkiraan utama dalam menyelesaikan struktur, logo dan pembahagian kerusi.

Walaupun ada pihak yang skeptikal namun semangat Harapan telah mengenepikan kepentingan parti masing-masing untuk mencapai keputusan yang dinantikan. Beberapa pertemuan gagal mencapai kata sepakat sehinggalah mesyuarat terakhir pada 13 Julai 2017 satu persetujuan dimetrai oleh pimpinan keempat parti di Ibu Pejabat Keadilan Nasional di Selangor.

Kini struktur yang jelas menggabungkan kedua elemen penting gelombang perubahan termetrai di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Penasihat Umum, Tun Mahathir sebagai Pengerusi, Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai Presiden manakala 4 Timbalan Presiden terdiri daripada ketua parti komponen diikuti dengan Naib Presiden dari timbalan ketua keempat-empat parti.

Persetujuan bersejarah pada 13hb Julai 2017 adalah satu permuafakatan politik terbaik parti-parti pembangkang. Ia permuafakatan politik baharu bagi membina semula negara dalam perjuangan reformasi yang kini berwajah baru, bersemangat baru.

Tiada siapa terfikir gabungan Tun Mahathir dan DSAI kini menjadi kenyataan walaupun pada tahun 1998 DSAI dipecat atas tuduhan politik di bawah kepimpinan Tun Mahathir ketika itu.

Bersama generasi reformasi dan pemimpin yang telah terbukti kesetiaan dan amanah mereka pada rakyat, gabungan baru PH akan mendapat kepercayaan rakyat menggantikan politik rasuah dan kleptokrat BN kepada politik prinsip dan beramanah.

Ayuh bersama melakar sejarah perubahan, bersama Harapan, negara kita julangkan!
___________________
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah anggota Majlis Presiden PH, Naib Presiden Amanah dan Ahli Parlimen Malaysia.

TAGS