Exco, ahli majlis buat laporan polis terhadap blog fitnah MBSA

Exco, ahli majlis buat laporan polis terhadap blog fitnah MBSA

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dua laporan polis dibuat terhadap blog menggunakan nama ‘Negara Pakatan Rakyat’ yang melaporkan kononnya Kerajaan Negeri bersubahat dengan pasangan yang mengasari penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Laporan polis itu dibuat oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan, Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Majlis MBSA, V Papparaidu.

Hian Wah ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Shah Alam berkata dakwaan beliau berjumpa dengan pasangan itu dan menawarkan pampasan merupakan fitnah dan tidak berasas.

“Saya tegaskan bahawa, saya tidak pernah berjumpa dengan pasangan itu.

“Saya anggap ini adalah perbuatan kotor dan jahat dilakukan oleh musuh politik,” katanya seperti dipetik Selangor Kini.

Beliau mahu polis menjalankan siasatan secara profesional supaya blogger yang berkenaan dibawa ke muka pengadilan.

“Isu ini sengaja dipolitikkan dan meniupkan api perkauman. Saya harap rakyat tidak termakan dengan api perkauman ini,” katanya.

Sementara itu, Papparaidu berkata tindakan penyebaran berita terbabit mencemarkan nama baik Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kami Ahli Majlis kecewa dengan tindakan ini. Kami mahu Datuk Bandar Shah Alam mengambil tindakan tegas dalam perkara ini.

“Kami mohon polis mengambil tindakan segera dan cepat dalam isu penyebaran ini,” katanya.

Hadir sama Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Blog itu memaparkan laporan bertajuk ‘MBSA arah kakitangannya tarik balik laporan polis dan dakwa hanya salah faham berkaitan uniform’

TAGS