Exco Pas Selangor nafi mahu letak jawatan

Exco Pas Selangor nafi mahu letak jawatan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas menafikan desas-desus tiga ahli Exco Selangor itu akan meletak jawatan pada hujung tahun ini ekoran beberapa kenyataan pemimpin PKR yang banyak melemparkan tuduhan tidak berasas kepada parti itu.

Menurut salah seorang daripada exco berkenaan Datuk Yunus Hairi, isu berkenaan sudah tidak dibincangkan lagi, memandangkan pendirian Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang bertegas mahu meneruskan kerjasama politik dengan parti itu.

“Secara peribadi saya tidak dengar lagi (mengenai exco PAS Selangor akan letak jawatan), di peringkat Pas negeri pun kita tidak pernah bincangkan sebab kita memegang konsep kerjasama dengan PKR masih lagi utuh.

“Kalau di peringkat Pas pusat masih bertegas dengan PKR, pentadbiran negeri kita masih bersama atas dasar mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU13 dan pendirian Menteri Besar sendiri yang sama masih lagi mahu mentadbir kerajaan negeri bersama dengan Pas,” katanya dipetik Antarapos.

Isu mengenai peletakan jawatan tiga exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor kembali melanda arena politik negeri itu.

Khabar angin ini timbul sekali lagi selepas Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution pada September lalu, menyifatkan bahawa PKR lebih terkesan dengan pengkhianatan yang dilakukan Pas terhadap parti itu.

Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan selepas Pas sering mengatakan bahawa parti itu dikhianati PKR meskipun masih menjadi rakan tahaluf siyasi di Selangor.

Terbaru, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyindir PKR dan menyatakan kekecewaan ekoran kerap dihentam parti itu ketika Ceramah Mega Rakyat anjuran Pas di Paya Jaras awal bulan ini.

Pas Selangor kini mempunyai tiga exco iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Tambah Yunus lagi, kenyataan itu mungkin hanya persepsi sesetengah pemimpin PKR namun ia tidak mewakili parti tersebut.

“Itu hanya perrsepsi katakan PAS khianat PKR dan sebagainya, saya ingat dia (Datuk Saifuddin Nasution) kena buktikan. Kalau kita nak cari isu khianat yang rasanya mungkin persepsi masing-masing.

“Mungkin Pas juga boleh cari alasan yang PKR khianat kepada Pas dan sebagainya. Tapi yang penting adalah persamaan yang kita boleh pegang untuk bersama-sama dalam memegang pentadbiran dalam blok pembangkang,” katanya merujuk kepada kenyataan Saifuddin.

Dalam pada itu, Yunus berkata segala keputusan adalah terletak ditangan PAS Pusat samada ingin meneruskan kerjasama politik dengan PKR di Selangor atau sebaliknya.

Jelasnya, sehingga kini tiada sebarang arahan yang dikeluarkan kepada PAS Selangor berhubung dakwaan itu.

“Saya tidak pasti di peringkat pusat (bincang mengenai perletakan jawatan exco PAS Selangor) tapi setahu saya peringkat pusat, Presiden, PAS Selangor dan ADUN tegas masih lagi sama (ada hubungan dengan PKR) dan saya rasa tidak pernah dibincangkan di peringkat negeri.

“Apa pun kalau itu yang dimahukan oleh Pas pusat, kita akur. Biasanya kita (Pas Selangor) beri input kepada (Pas) pusat untuk pertimbangkan buat keputusan dan kita akur dengan apa jua keputusan.

“Setakat ini tidak ada (isu peletakan jawatan exco Pas Selangor), dalam apa juga perbincangan di peringkat negeri memang tidak pernah disebutkan,” katanya lagi.

TAGS