Expedisi Balak Kelantan: Ada muslihat lulus tebang hutan kurang 500 hektar

Expedisi Balak Kelantan: Ada muslihat lulus tebang hutan kurang 500 hektar

Tindakan kerajaan negeri Kelantan meluluskan aktiviti pembalakan kurang daripada 500 hektar bagi sesebuah kawasan hutan simpan disifatkan sebagai muslihat untuk mengelak daripada menyediakan laporan terperinci Penilaian Alam Sekitar (DEIA).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan kerajaan negeri Kelantan meluluskan aktiviti pembalakan kurang daripada 500 hektar bagi sesebuah kawasan hutan simpan disifatkan sebagai muslihat untuk mengelak daripada menyediakan laporan terperinci Penilaian Alam Sekitar (DEIA).

Pengerusi Penaja NGO Royalti (R) Malaysia, Hishamuddin Ghazali berkata demikian ketika mengulas isu pembalakan melampau di pedalaman Gua Musang yang mengancam sumber air dan hutan di lebih 20 kampung dekat pos Orang Asli di kawasan berkenaan.

Menurutnya, taktik kelulusan itu menyumbang kepada kemusnahan hutan dalam skala yang besar sekaligus menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli ketika kerajaan negeri berkempen ‘Anok Kelate Saye Hute’ (Anak Kelantan sayang hutan).

“Saya lihat banyak hutan simpan diluluskan oleh kerajaan negeri kepada pembalak. Mereka ‘pandai’. Luluskan bawah 500 hektar supaya tidak perlukan laporan DEIA. Tidak hairanlah kerajaan negeri luluskan sehingga 400 hektar sahaja supaya menepati syarat jangan lebih 500 (hektar).

“Ini tidak betul. Tutup kelemahan pengurusan ekonomi negeri tapi kaut banyak keuntungan dengan meluluskan kawasan hutan simpan seluas-lusanya kepada syarikat-syarikat pembalak tanpa mengambil kira kesan buruk pada masa akan datang.

“Bahasa mudahnya menipu. Banyak lesen yang diluluskan itu pula tanpa pengawasan ketat daripada Jabatan Perhutanan sehingga ada yang hanya dua hingga tiga rantai dari gigi air seperti berlaku di Gua Cha dan Pos Gob,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline malam tadi.

Hishamudin Ghazali, ketua Expedisi Balak Kelantan bercakap dengan Orang Asli.

Sehubungan itu, beliau yang dikenali sebagai Sham Ghaz menyeru supaya kerajaan negeri mendengar tuntutan masyarakat Orang Asli supaya menghentikan selama-lamanya kegiatan pembalakan tidak terkawal tersebut.

“Pembalakan masih berlaku di rizab sungai. Kerajaan negeri kena buka mata, pantau operasi syarikat pembalak ini,” tegasnya lagi selepas program dua hari menjelajah lokasi pembalakan di Gua Musang bermula 10 Oktober lalu.

Tinjauan dalam program anjuran R itu mendapat beberapa penempatan pekerja balak yang dipanggil ‘kongsi’ telah ditinggalkan kosong.

Antaranya berdekatan Pos Gob, kongsi di Hutan Simpan Kekal Balah itu dianggarkan boleh memuatkan tidak kurang daripada 50 pekerja balak berdasarkan pelantar untuk tempat tidur yang ditinggalkan.

Notis di kongsi itu pula memaklumkan Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd sebagai pelesen dengan seluas 239 hektar hutan terbabit diserah kepada kontraktor Souncern Timber Sdn Bhd.

Kompleks Perkayuan Kelantan dilihat banyak  memberi lesen membalak kurang daripada 500 hektar bagi mengelak laporan DEIA.Satu lagi kongsi yang ditinggalkan adalah berhampiran Pos Bering walaupun salah satu papan tanda di situ memaklumkan tempoh kuatkuasa lesen membalak daripada 28 Jun sehingga 27 Disember tahun ini.

Kebanyakan kongsi berkenaan ditinggalkan ekoran tuntutan masyarakat Orang Asli membuat penghalang jalan di simpang Petei bagi menyekat kemasukan lori balak sejak akhir September lalu.

Program anjuran bersama Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka Malaysia), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Impian Kelantan dan Belantara Rimba 4×4 Oren turut disertai beberapa media lain.

 

 

TAGS