Ezam, Khairuddin akan akur keputusan ROS atau cari platform baharu

Ezam, Khairuddin akan akur keputusan ROS atau cari platform baharu

Hasrat Datuk Mohd Ezam Mohd Noor dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mendapatkan kelulusan menggunakan nama baharu bagi Parti Generasi Baru sebaliknya pula,  tidak sah walaupun jawatankuasa pusat yang baharu  telah dilantik kerana didakwa membelakangi pemimpin utama dan perlembagaan parti itu.

Dalam sidang media diadakan semalam, Presidennya Datuk G. Kumar dipetik berkata, tindakan itu dilakukan bekas Setiausaha Agungnya S.Gobi Krishnan setelah beliau digantung keahlian bulan lalu.

Dakwanya Gobi telah bertindak sesuka hati membelakangkan parti dengan menubuhkan jawatankuasa pusat baharu tanpa sebarang mesyuarat atau notis dibuat dan tanpa persetujuan 300 ahli.

Bagaimanapun Ezam dalam satu kenyataan balasnya, semalam dipetik berkata, dakwaan presiden parti itu berniat jahat dan di dalangi pemerintah.

Ezam berkata, pihaknya akan akur terhadap segala keputusan Jabatan Pertubuhan Sosial (ROS).

“Kami punya alasan untuk mempercayai bahawa dakwaan itu berniat jahat dan didalangi pemerintah.

“Kami serahkan kepada ROS untuk membuat keputusan akhir mengenai dakwaan-dakwaan tersebut dan berjanji akan akur kepada apa sahaja keputusan.

“Perjuangan akan tetap diteruskan sama ada bersama Parti Ge­nerasi Baru atau platform lain,” katanya semalam.

Dalam pada itu hari ini pula, Khairuddin dalam kenyataannya turut menempelak Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan yang mengeluarkan kenyataannya dalam sidang akhbar yang turut dihadirinya semalam.

“Parti kami hanyalah sebuah parti baharu yang amat kerdil yang berpaksi sokongan pada barisan pembangkang kini sudah ditakuti oleh Barisan Nasional.

“Pemimpin seperti Huan Cheng Guan sudah nampak amat kepanasan.

“Saya tak faham kenapa beliau takut sangat dengan saya. Diri saya hanyalah orang baharu yang tiada pengalaman macam beliau di dalam arena politik. Tapi nampak sangat beliau begitu kalut dengan parti kami.

“Apa kena Huan Cheng Guan dengan Parti Generasi Baru? bukan ahli parti kami pun.

“Sebaiknya Huan Cheng Guan jaga partinya yang ‘hidup segan mati tak mahu’itu… Parti Cinta Malaysia pun sudah hampir terkubur,” ujar Khairuddin selaku Timbalan Parti Generasi Baru yang merujuk kenyataan Huan Cehng Guan yang disiarkan sebuah stesyen televisyen pro kerajaan malam tadi.

Menurut Khairuddin lagi walaupun Parti Generasi Baru belum lagi diterima masuk dalam Pakatan Harapan tetapi dakwanya pemimpin-pemimpin BN sudah gementar.

“Kami telah melakukan segalanya mengikut saluran perlembagaan parti serta ROS. Pihak kami amat menghormati undang-undang dan sama sekali tidak akan kompromi dengan mana-mana bentuk salah laku.

“Kepimpinan parti kami akan memberi kerjasama yang sewajarnya dengan pihak penguatkuasa undang-undang yang ingin menyiasat mengenai penubuhan jawatankuasa pusat yang baharu.

“Barisan kepimpinan parti kami amat telus dan mengalu-alukan segala bentuk siasatan.

“Buat masa ini, kami akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ sehingga pihak ROS siasat mengenai kesahihan perlantikan jawatankuasa pusat terkini Parti Generasi Baru ini,” ujarnya.

Tegas Khairuddin lagi, pihaknya tidak akan teragak-teragak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada semua konspirator yang terlibat untuk memfitnah serta mencemarkan kredibiliti parti.

“Keseluruhan ahli majlis tertinggi parti amat yakin dengan sikap professionalisma ROS di dalam membuat penyiasatan seterusnya membuat keputusan muktamad mengenai kesahihan anggota baharu majlis tertinggi Parti Generasi Baru.

“Secara peribadi, saya amat yakin keputusannya akan memihak kepada kami,” ujarnya.

Pada 17 Mac lalu, Mohd. Ezam bersama Khairuddin  dan beberapa lagi aktivitis mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu yang akan dikenali sebagai Parti Bebas Rasuah dengan mengunakan platform Parti Generasi Baru yang telah ditubuhkan sejak 2013 itu.

Pada 4 April Parti Generasi Baru memohon untuk menyertai Pakatan Harapan walaupun  permohonan  untuk pertukaran nama baharu kepada Parti Bebas Rasuah masih belum lagi mendapat kelulusan ROS.

Majlis Pimpinan Presiden Pakatan Harapan sehingga kini masih lagi belum membuat keputusan rasmi mengenai  permohonan Parti Generasi Baru itu untuk menganggotai gabungan parti dalam Pakatan Harapan.

TAGS