Ezam, Khairudin fikir tembolok sendiri, kata Lokman Adam

Ezam, Khairudin fikir tembolok sendiri, kata Lokman Adam

Sebarang usaha untuk mewujudkan parti baharu dikalangan pembangkang akan menguntungkan Barisan Nasional (BN), kata Presiden Suara Generasi Terbilang Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata tindakan Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor dan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menubuhkan parti baharu hanya bersandarkan kepada kepentingan peribadi semata.

“Hasrat menubuhkan parti baharu jelas menunjukkan perjuangan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ezam dan Khairuddin hanya untuk tembolok sendiri.

“Bagi saya, sebarang usaha untuk mewujudkan parti baharu di kalangan pembangkang hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Lokman, parti ciptaan Ezam dan Khairuddin hanya ingin melonjakkan populariti mereka yang semakin malap selepas gagal memperolehi apa yang mereka idamkan ketika bersama parti lain.

Sebelum itu, Ezam mengumumkan penubuhan sebuah parti yang semata-mata untuk memerangi rasuah.

Semalam Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard turut memberi komen di dalam blognya mengenai hasrat Ezam dan Khairuddin untuk menubuhkan parti baharu.

Beliau mengandaikan tidak akan bertahan lama kerana Ezam dan Khairuddin dakwanya, hanya berkepentingan mengejar jawatan dalam politik.

Tegas Lokman lagi, Pakatan Harapan bukan tandingan BN dalam PRU-14 berikutan PAS tidak bersama mereka.

“Mereka hampir pasti gagal memberikan saingan kepada BN kerana PAS kini sudah bebas untuk bertanding di mana jua tanpa terikat dengan keputusan BN mahupun Pakatan Harapan.

“Pertandingan tiga penjuru dan mungkin empat penjuru akan berkemungkinan berlaku  yang membolehkan BN menang besar pada PRU14 kelak.

“Ini akan  membuakan  Ezam mungkin akan buat keputusan melakukan pusingan U dan kembali kepada Umno.

“Persoalannya, patutkan kita membiarkan diri kita diperdaya beliau lagi?,” soal Lokman.

TAGS