Ezam serah borang sertai  parti Bersatu

Ezam serah borang sertai parti Bersatu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengakui menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beliau mengumumkan keluar dari Umno.

Dalam jawapan ringkasnya kepada portal berita BNBBC.my Ezam mengakui telah menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Ya benar saya serah borang ahli parti kepada Tan Sri Muhyiddin pagi semalam.

“Sehari sebelum itu saya telah berjumpa Tun Dr Mahathir. Beliau telah menyakinkan saya perjuangan melawan rasuah lebih berkesan melalui platform politik,” katanya menerusi whatsapp pada Khamis.

 Ezam mengambil keputusan meninggalkan Umno kerana mendakwa parti tersebut dicemari kelompok pemimpin yang teruja membangkitkan soal jawatan, habuan dan kebendaan untuk kepentingan peribadi.

Ini mendorongnya untuk meninggalkan parti itu kerana “nilai kepimpinan Umno sudah rosak”.

“Alhamdulillah, respons amat positif (keputusan keluar Umno). Keadaan semasa dalam Umno memperkukuhkan keyakinan saya bahawa memang benarlah saya meninggalkan sebuah parti yang sudah rosak nilai kepimpinannya.

“Lihatlah reaksi awal mereka, di benak pemikiran mereka hanya soal ganjaran dan habuan peribadi. Isu pokoknya adalah OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan rasuah, tapi mereka tidak bincangkan soal itu.

“Jadi tidak hairanlah Presiden Umno paling lama dalam sejarah parti itu, Mahathir sendiri tinggalkan Umno,” katanya lagi.

Portal itu menambah, pimpinan Bersatu akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan permohonan Ezam itu dan akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak.

Ezam pernah menentang pentadbiran Mahathir sejak era reformasi pada tahun 1998 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Beliau juga pernah dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada Mei 2010 dan diberikan jawatan Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan pada 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

TAGS