Ezam umum keluar Umno demi pertahan prinsip perjuangan

Ezam umum keluar Umno demi pertahan prinsip perjuangan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan untuk keluar daripada Umno, demi mempertahankan prinsip perjuangannya yang mahu membawa perubahan terhadap negara ini.

Dalam posting terbarunya di facebook malam tadi Ezam turut memberitahu beliau telah menamatkan perkhidmatannya di Kementerian Kewangan sejak enam bulan lalu iaitu lebih awal daripada perkhidmatannya berakhir pada 1 April 2017.

 “Hari ini 1 Muharam 1438H saya membuat keputusan untuk tidak lagi bersama parti UMNO,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook malam tadi.

Katanya, keputusan untuk menyertai semula Umno  pada bulan Mei 2008 atas prinsip sama selepas mendapat komitmen jelas daripada Tun Abdullah Badawi untuk melakukan perubahan besar dalam memerangi rasuah dengan menggubal akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantikan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Perubahan itu benar berlaku selepas kemasukan saya dalam Umno dan SPRM dilahirkan jauh berbeza berbanding BPR dalam banyak aspek.

“Saya pernah dipenjarakan di bawah kedua-dua akta ini namun lebih penting saya percaya kedua-dua akta ini sering menjadi hambatan kepada perjuangan melawan jenayah rasuah.

“Dalam tempoh saya menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 2010-2014, ISA dibahas dan dimansuhkan manakala OSA masih tiada tanda-tanda akan berlaku perubahan.

“Saya tetap bersangka baik kepada kerajaan transformasi di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan melakukan segala usaha mempengaruhi pentadbiran melakukan perubahan khususnya OSA,” kata beliau.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, bukan sahaja OSA tidak digubal tetapi didakwa disalahgunakan ke atas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dalam kes 1Malaysia Development Berhad.

Ezam berkata, ia adalah satu kes yang langsung tidak membabitkan soal keselamatan negara yang mewajarkan penggunaan OSA.

Beliau yang menyifatkan tindakan itu sebagai sejuta langkah kebelakang dalam proses transformasi yang dilaung kerajaan.

“Justeru saya telah membuat teguran terbuka mendesak tindakan salah ini diperbetulkan.

“Tiada tindakan pembetulan, malah media dan beberapa kerat pemimpin digunakan memomokkan teguran saya. Dan tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yang bersuara membetulkan keadaan.

“Makanya saya sedar saya bukan lagi di dalam satu parti dan jemaah yang serius mahu lakukan pembaharuan dan islah lebih-lebih lagi apabila ia menyangkut soal rasuah dan penyelewengan,” tambah beliau.

Ezam menegaskan beliau tidak mahu berkompromi dalam soal ini kerana sebagai satu-satunya warga negara yang pernah di penjara di bawah OSA, beliau faham setiap inci dalam peruntukan akta tersebut.

Katanya, beliau bertanggungjawab kepada negara apabila mengetahui akta itu disalahgunakan untuk melindungi perasuah dan penjenayah.

“Reformasi, transformasi, perubahan, pembaharuan…apapun namanya mesti menjadikan agenda melawan rasuan sebagai agenda paling utama kerana itulah realiti zaman dan itulah juga ingatan junjungan besar Muhammad SAW,” ujarnya.

TAGS