Felda jawab Rafizi: 54 pihak berminat beli Grand Plaza

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Grand Plaza Serviced Apartments, hartanah mewah milik Felda di London.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahril Abdul Samad menjelaskan bahawa penjualan Grand Plaza Serviced Apartments adalah salah satu daripada inisiatif penyusunan semula aset-aset Felda yang sejajar dengan keputusan agensi itu untuk menjual aset-aset yang tidak berkaitan dengan operasi terasnya.

Dalam satu kenyataan media yang disalurkan melalui Bernama, Shahril mengakui sehingga kini, terdapat 54 pihak yang menyatakan minat untuk membeli Grand Plaza Serviced Apartment dan proses penjualannya di peringkat terakhir bagi meneliti tawaran yang baik dan munasabah.

Shahrir menjawab persoalan yang dibangkitkan naib presiden PKR Rafizi Ramli berhubung isu-isu membabitkan penjualan hartanah mewah Felda di London khususnya Grand Plaza Serviced Apartments.

“Saya yakin bahawa penjualan hotel ini adalah sejajar dengan hala tuju Felda untuk ‘balik asal’ dan akan memberi impak yang positif kepada kewangan Felda.

“Selain itu, ini dapat membantu Felda untuk fokus kepada pengurusan ladang peneroka bagi memastikan pendapatan peneroka yang tinggi sekaligus memastikan kebajikan dan kesejahteraan peneroka terbela,” ujarnya.

Shahrir Samad Felda

Shahrir Samad

Shahrir turut menjelaskan mengenai ‘perbelanjaan misteri’ operasi Grand Plaza Serviced Apartments berjumlah RM8O juta seperti didedahkan Rafizi dan menganggap dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Menurut beliau, komponen utama perbelanjaan pentadbiran (administrative expenses) FIC Grand Plaza Ltd yang dirujuk Rafizi adalah bayaran kadar pajakan tahunan.

“Kadar pajakan ini merupakan bayaran sewaan yang perlu dibuat oleh FIC Grand Plaza Ltd yang merupakan syarikat yang menguruskan perniagaan bagi pihak syarikat induk, iaitu FIC UK Properties Sdn Bhd.

“Ini jelas dinyatakan di dalam Detailed Income Statement yang merupakan sebahagian daripada penyata kewangan FIC Grand Plaza Ltd.,” ujarnya.

Rafizi pada sidang media 10 dan 11 Okt lalu menuntut penjelasan Felda berhubung isu-isu berbangkit daripada penjualan Grand Plaza Serviced Apartments.

Antaranya beliau mendedahkan bagaimana ahli lembaga pengarah FIC Grand Plaza Ltd, syarikat yang diwujudkan untuk menguruskan Grand Plaza Serviced Apartments membayar purata RM10,000 sebulan kepada ahli lembaga pengarahnya yang terdiri daripada pegawai kanan Felda di saat ia mengalami kerugian.

Malah bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal pembelian hotel Felda di UK dan Kuching kekal sebagai ahli lembaga pengarah syarikat dan mendapat manfaat yang sama.

Shahril turut menafikan dakwaan Rafizi bahawa pembelian Grand Plaza Serviced Apartments dibuat melalui pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Grand Plaza Serviced Apartments dibeli melalui hasil penyenaraian FGV (Felda Global Ventures) pada tahun 2012. Perkara ini telah saya maklumkan kepada pihak media pada 12 Februari 2017 dan mendapat liputan akhbar-akhbar utama.

“Oleh itu dakwaan kedua YB Rafizi bahawa Felda akan kerugian RM38 juta akibat jualan Grand Plaza Serviced Apartments juga tidak tepat kerana pembelian ini menggunakan dana dalaman Felda dan tidak menanggung sebarang kos bayaran faedah,” ujar Shahril.

0.0
OVERALL SCORE
: 0.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS