Firaun pun berunding dengan Nabi Musa, kata Husam kepada Zaharudin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Firaun yang dikenali sebagai diktator pun berunding dengan Nabi Musa dalam menentukan tarikh, tempat, masa dan bentuk pertarungan dengan ahli sihir diraja.

Demikian perbandingan digunakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa menggambarkan pendekatan yang wajar dilakukan berhubung isu debat beliau dengan menantu Presiden PAS.

Beliau dalam kenyataannya hari ini berkata, bersedia untuk berdebat dengan Zaharudin Muhammad yang juga dikenali sebagai Din Ayam itu jika diatur secara persetujuan bersama serta tidak bertindih dengan temujanji sedia ada.

Ujarnya, pendekatan secara berunding antara kedua-dua pihak merupakan aturan dari dunia peradaban silam yang kekal diamalkan sehingga pada masa ini.

“Namun, rupa-rupanya ada juga insan yang ingin mempamerkan keberaniannya yang luar biasa dengan menetapkan sendiri tarikh, tempat, masa dan segalanya berkait apa yang dikatakan debat saya dan beliau,” bidasnya.

Mengakui dirinya tidak pernah dihubungi dalam apa sahaja cara walau sepatah perkataan, Husam menasihatkan supaya tidak harus “insan kerdil” yang lain harus mengikut telunjuk termasuk menyentuh soal penetapan tarikh debat.

“Saya tentunya tidak lebih baik dari Nabi Musa dan dia tentunya tidak lebih buruk dari Firaun. Mengapa untuk isu ‘debat’ yang tidak sehebat mana pun, perlukan eksploitasi serendah itu?” ujarnya.

Walaupun kenyataan tersebut tidak menyebut nama Zaharudin secara jelas tetapi sebelum ini perang terbuka di media sosial berlaku antara Husam dan menantu Presiden PAS berhubung skandal balak di negeri Kelantan.

Hanya merujuk kepada Zaharudin sebagai “hero kita”, beliau berkata, menantu Hadi Awang itu telah menetapkan esok untuk Husam bertemu dengannya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Gombak.

TAGS