FOMCA sokong mekanisme tetap harga minyak masak

FOMCA sokong mekanisme tetap harga minyak masak

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong cadangan mewujudkan mekanisma penetapan harga minyak masak bertujuan mengawal kenaikan harga bahan itu.

Timbalan presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata seperti petrol, minyak masak juga perlukan satu mekanisma penetapan harga agar ia tidak membebankan pengguna.

“FOMCA menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meneliti mekanisma penetapan harga minyak masak.

“Kalau harga petrol ada mekanismanya sendiri untuk kerajaan kawal harganya pastinya ada juga mekanisma penetapan harga minyak masak berdasarkan kepada harga semasa pasaran komoditi seperti minyak sawit dunia,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Zahid hari ini berkata beliau bersetuju dengan cadangan mewujudkan mekanisme penetapan harga minyak masak.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Tangani Kos Sara Hidup, berkata KPDNKK perlu meneliti cadangan mewujudkan mekanisme penetapan harga minyak masak itu demi kesejahteraan rakyat.

Selasa lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penstrukturan semula minyak masak dilakukan berikutan kenaikan harga minyak sawit daripada RM2,300 satu tan pada Januari tahun lepas kepada hampir RM3,000 satu tan sehingga September, menyebabkan kerajaan menanggung subsidi yang tinggi.

Hamzah berkata dengan rasionalisasi ini, sesiapa sahaja yang mahu membeli minyak subsidi hanya terhad kepada 1 kilogram mengikut subsidi yang diberikan.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata pengguna juga perlu bijak untuk membuat pilihan dan tidak terikat dengan penggunaan sesuatu jenama minyak masak sahaja.

“Kenaikan harga minyak masak sehingga 60 peratus adalah melibatkan beberapa jenama minyak masak yang terkenal dan pengguna masih ada pilihan lagi untuk mengguna jenama biasa yang lebih murah,” katanya.

CATEGORIES