Gabungan pemandu teksi mahu PM haramkan GrabCar, Uber

Gabungan pemandu teksi mahu PM haramkan GrabCar, Uber

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lebih 40 wakil persatuan teksi seluruh negara termasuk di Lembah Klang akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendesak kerajaan mengharamkan aplikasi Uber dan GrabCar.

Satu memorandum yang ditandatangani oleh 40 wakil persatuan teksi di seluruh negara akan diserahkan ke pejabat perdana menteri di Putrajaya pada 26 September ini.

Pengerusi Kesepakatan Persatuan Teksi SeMalaysia, Zailani Isausuludin dipetik berkata, antara tuntutan utama dalam memorandum itu ialah mengharamkan perkhidmatan aplikasi GrabCar dan Uber di negara ini sehingga satu undang-undang digubal dan dipersetujui Yang Dipertuan Agong di Parlimen.

“Kami sudah mencadangkan tarikh 26 September ini untuk bertemu PM bagi tujuan itu tetapi belum ada pengesahan dari pegawai Najib sehingga hari ini. Kita akan menunggu jawapan mereka dan sekiranya tiada pengesahan muktamad maka kami akan teruskan agenda itu pada tarikh yang ditetapkan dan serahkan memorandum itu kepada PM, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail,” katanya pada sidang media semalam seperti dilapor Malaysiagazette.

Zailani menambah,Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) didakwa menidakkan hak pemandu teksi selain gagal mempertingkatkan teksi dengan membenarkan kereta persendirian beroperasi menggunakan aplikasi Uber dan GrabCar sangat mengecewakan.

Justeru katanya tindakan itu menjejaskan sara hidup teksi 65 peratus melibatkan hampir 70,000 pemandu teksi seluruh negara.

“Kita juga akan mengadakan perjumpaan susulan berhubung penyerahan memorandum ini bersama lebih ribuan pemandu teksi termasuk teksi individu yang tidak dapat hadir untuk perjumpaan di sini untuk meraih sokongan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia (Persim), Kamarudin Mohd. Hussain pula berkata, penyerahan memorandum itu akan menjadi titik tolak sejauh manakah keprihatinan Najib terhadap kebajikan pemandu teksi di negara ini.

“Kita juga tolak sepenuhnya TTIP yang dicadangkan oleh SPAD selagi GrabCar dan Uber tidak diharamkan di negara ini malah penyelarasan tambang TEKS1M dan kepelbagaian jenis model kereta untuk dijadikan TEKS1M, serta tidak menggunakan warna emas melambangkan satu kegagalann program yang diilhamkan oleh Najib untuk menjadikan TEKS1M sebagai Ikon Malaysia ,” ujarnya.

TAGS