Gabungan pembangkang harus bersedia hadapi PRU 14 tanpa Pas

Gabungan pembangkang harus bersedia hadapi PRU 14 tanpa Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Pakatan Harapan khususnya Parti Amanah Negara (Amanah) harus bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 dengan anggapan Pas tidak akan bersama mereka.

Namun bekas naib presiden Pas Datuk Husam Musa yang kini menyertai Amanah berkata, usaha pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang terus mengadakan pertemuan dan berunding dengan Pas harus disokong.

“Parti Bersatu boleh akan mengukuhkan lompang-lompang ke arah menumbangkan Umno BN.

“Kalau dulu kita mempunyai teman dalam Pakatan tapi hari ini Pas telah mempunyai sikap yang berbeza dan berlainan dari dulu.

“Saya tidak menghalang dan tidak berasa keberatan jika ada rakan-rakan yang boleh berunding dengan Pas bawa Pas masuk dalam Pakatan kita.

“Tetapi secara realistik juga kita kena menerima kemungkinan Pas tak akan bersama dengan kita walaupun kita nak Pas bersama kita.

“Oleh yang demikian persiapan kita adalah dalam dua seneario Pas tidak bersama kita, dan jika Pas bersama kita bagaimana kita boleh malaksanakan hasrat perubahan,” kata beliau sewaktu berucap di majlis makan malam Amanah Gopeng di Ipoh malam tadi.

Semalam, penasihat PPBM Tun Dr Mahathir Mohamed berkata beliau berharap dapat memberikan penjelasan kepada Pas mengenai kepentingan parti itu bersama dalam Pakatan Harapan.

“Saya berharap kita akan dapat mengadakan pertemuan dengan PAS untuk menjelaskan jika mereka tidak bersama kita dalam pilihan raya mereka sebenarnya akan membantu kerajaan untuk menang sebab mereka akan kehilangan banyak kerusi,” kata Mahathir ketika menghadiri sidang Kemuncak Kebebasan Malaysia di Petaling Jaya, seperti dipetik Malaysiakini.

Pas sebelum ini menegaskan mereka menolak kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang yang menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Parti itu bagaimanapun membentuk Gagasan Sejahtera yang disertai Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) dan masih bekerjasama dengan PKR yang menjadi rakan dalam Pakatan Harapan.

TAGS