Gagal komunikasi punca pindaan Akta 355 sukar dapat sokongan, dakwa Husam

Gagal komunikasi punca pindaan Akta 355 sukar dapat sokongan, dakwa Husam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemimpin Pas didakwa gagal untuk berkomunikasi dengan baik sehingga cita-cita mereka untuk meminda Akta 355 bagi menaik taraf Mahkamah Syariah sukar untuk mendapat sokongan.

Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa dalam kuliah Jumaatnya pagi ini berkata, berkomunikasi dengan cara yang betul boleh menjayakan sesuatu agenda.

Sehubungan itu, ahli dan pemimpin Amanah diminta mengambil pengajaran dari kesilapan yang dibuat oleh orang-orang yang terdahulu dalam berkomunikasi sehingga boleh menggagal hasrat dan cita-cita yang mereka bawa.

“Kita kena mengambil iktibar kesilapan pemimpin Pas dalam berkomunikasi sehingga cita-cita nak laksanakan Akta 355 pun nampak sukar.

“Nak buat benda baik tetapi dia mula dengan marah. Lepas tu bila tersedar, baru nak minta orang sokong, mana boleh jadi,” kata beliau dalam Kuliah Jumaat kedua di perkarangan rumahnya pagi ini.

Menurut Husam, untuk membolehkan Akta 355 dipinda, Pas memerlukan sokongan semua pihak termasuk ahli parlimen dari DAP dan juga PKR.

“Macamana DAP nak sokong, kita mula dengan marahkan DAP. Lepas itu marah pula kepada PKR kata kalau tak sokong, kita nak tanam kat jerat. Mana boleh macam tu,” kata Husam dalam kuliahnya yang mengupas mengenai komunikasi yang baik itu.

Bagi beliau, semua yang berlaku ini adalah masalah komunikasi dan kegagalan bercakap dan berhubung dengan baik sehingga orang tidak memahaminya.

Pas memutuskan hubungannya dengan DAP dan selepas itu berpecahlah Pakatan Rakyat kerana mendakwa DAP anti Islam dan tidak menyokong cadangan Pas untuk meminda Akta 355 bagi menaiktaraf Mahkamah Syariah.

Seorang pemimpin Pas iaitu Yang Dipertua Pas Padang Serai, Kedah, Shaharuddin Ibrahim mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail boleh ditanam di tanah perkuburan Cina (jerat) jika tidak menyokong usul meminda Akta 355 itu.

Namun Shahruddin kemudiannya memohon maaf kepada Wan Azizah di atas keterlanjuran itu.

Sebelum itu, Shahruddin juga pernah mendakwa tidak ada lagi azan di masjid-masjid Pulau Pinang kerana dilarang oleh kerajaan negeri pimpinan DAP.

Shahrudin juga menarik balik dakwaan itu dan meminta maaf kemudiannya.

TAGS