Ganjaran wang kepada penjawat awam lapor rasuah

Ganjaran wang kepada penjawat awam lapor rasuah

Penjawat awam yang melaporkan kes rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menerima pengiktirafan berbentuk insentif wang yang sama dengan nilai rasuah yang ditawarkan, kata Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi.

Beliau berkata ganjaran itu akan diberikan dengan syarat sekiranya kes itu disiasat dan tertuduh didakwa serta disabit kesalahan.

“Di Sabah tahun lalu hanya ada dua penjawat awam iaitu kakitangan imigresen serta polis menerima ganjaran selepas melaporkan kes rasuah di negeri ini, manakala tahun ini terdapat seorang (polis) setakat ini bakal menerima ganjaran bernilai RM25,000 yang akan disampaikan pada tahun hadapan.

Insentif terendah yang ditawarkan adalah RM500 bagi kes rasuah di bawah nilai RM500, namun kes rasuah membabitkan nilai RM500 dan ke atas akan dibayar insentif mengikut nilai sogokan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat di hadapan kira-kira 105 kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau sempena majlis melafaz dan menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) JPN Zon Tawau dan Sandakan bersama SPRM, hari ini.

{loadposition myposition}

Majlis itu turut dihadiri Pengarah JPN Sabah Datuk Ismail Ahmad.

Sazali berkata ganjaran itu bagi menggalakkan penjawat awam melaporkan kegiatan rasuah sekali gus mampu menghapuskan rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

Sementara itu, beliau ketika ditemui berkata sebanyak 53 agensi kerajaan serta badan berkanun di Sabah telah melaksanakan IBR dan impaknya berjaya mengurangkan peratusan penjawat awam terlibat rasuah.

Beliau mengingatkan individu yang melafaz IBR untuk menunjukkan komitmen masing-masing dalam menghindari rasuah.

“Jangan lafaz sebagai wayang sahaja kerana yang malu jika ditangkap adalah agensi dan diri sendiri,” katanya

Menurut Sazali, setakat tahun ini tiga penjawat awam di Sabah yang telah melafaz IBR ditahan selepas disyaki terlibat rasuah.

CATEGORIES
TAGS