Geng Baju Merah cuba halang, polis beri kerjasama Konvoi Bersih 5 di Johor Bharu

Geng Baju Merah cuba halang, polis beri kerjasama Konvoi Bersih 5 di Johor Bharu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Walaupun Geng Baju Merah pada mulanya cuba menghalang, Konvoi Bersih 5 yang mula bertolak dari Majlis Bandaraya Johor Bahru pagi hari ini berjalan lancar.

“Alhamdulillah, suasana dapat dikawal dengan begitu baik oleh pihak polis,” beritahu Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Mazlan Aliman di Facebook beliau menceritakan situasi gerakan massa menuntut pilihan raya yang adil dan bersih itu.

Jelasnya, konvoi yang disertai 70 unit kenderaan tersebut tiba di Pejabat Ahli Parlimen Gelang Patah kira-kira jam 10.15 pagi dengan disambut oleh Lim Kit Siang yang juga Penasihat DAP serta pimpinan Pakatan Harapan Johor.

“Pengguna jalan raya dan masyarakat sekitar di laluan konvoi memberi respon baik. Aktiviti edar risalah Bersih 5 di kedai-kedai dan premis awam mendapat sambutan baik tidak kira apa kaum,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Johor, Mahadzir Mat Zili berkata, pihak polis memberi kerjasama kepada konvoi Bersih 5 dengan berjaya menangani provokasi Geng Baju Merah daripada berlarutan.

“Pemuda Amanah memberikan sokongan yang penuh sama ada daripada segi peserta dan logistik bagi menjayakan konvoi yang bakal singgah 12 lokasi ini. Anggota relawan ARiF (Amal Relief Malaysia) turut banyak membantu selain pasukan perubatan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Selain mengedarkan risalah, Konvoi Bersih 5 di Johor Bahru turut mengumpul tandatangan orang ramai bagi membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang tidak adil.

Setakat pukul 12.15 tengah hari tadi, konvoi berkenaan sudah tiba di Kangkar Pulai sebelum menuju ke Pekan Nenas iaitu di perkarangan Public Bank seterusnya menempuh Seri Bunian dan di Bilik Gerakan Amanah Kampung Rimba Terjun.

Dalam tempoh kira-kira 30 minit bagi setiap lokasi, konvoi selanjutnya bergerak ke hentian bas di Pontian; Bilik Gerakan Amanah di Ayer Baloi; Benut iaitu sebelum jejantas ke Simpang Renggam serta pekan Bukit Batu dengan diakhiri di Taman Tropika, Kulai pada jangkaan pukul 7.30 malam ini.

Peserta Baju Merah cuba untuk menghalang Konvoi Bersih 5 di Johor Bahru tetapi berjaya ditangani pihak polis.

 

TAGS