Geng Ustaz desak MP bukan Islam sokong usul Akta 355

Geng Ustaz desak MP bukan Islam sokong usul Akta 355

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekumpulan NGO yang dikenali sebagai Geng Ustaz berhimpun di hadapan bangunan Parlimen hari ini untuk menyatakan sokongan terhadap usul Rang Undang-undang Akta 355 yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Kumpulan ustaz itu telah berkumpul seawal 9 pagi tadi dengan membawa pelbagai pernyataan plakad yang menyokong Akta 355.

Menurut Presidennya Norazli Musa persatuan menyokong usul Akta 355 ini dan mengharapkan wakil rakyat bukan Islam tidak menghalang kelulusan pengubalan rang undang-undang khusus untuk orang Islam ini.

“Akta ini tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam… Kami harap mereka dapat menghormati orang Islam dan memberi kebebasan supaya umat Islam di negara ini bebas laksanakan agama mereka.

“Kita menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar dapat menyokong usul ini di dewan rakyat,” ujarnya.

Turut bersama dilihat menyokong usaha dilakukan oleh Persatuan Geng Ustaz ini adalah Ketua Pemuda Pas Pusat Nik Abduh Nik Aziz yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh dan Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Tantawi turut bergambar bersama ahli persatuan tersebut.

Sebelum ini usul yang ingin dibawa Abdul Hadi mencadangkan Akta 355 dipinda supaya had hukuman penjara maksimum – ketika ini selama tempoh tiga tahun – dinaikkan.

Turut dicadangkan supaya dimansuhkan ialah had maksimum denda (ketika ini maksimum RM5,000) dan sebatan (kini maksimum enam kali).

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dan taklimat dengan anggota parlimen beragama Islam bagi menjelaskan usul Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi berkenaan had hukuman.

Usul itu dijangka dibawa ke Dewan Rakyat selewat-lewatnya pada hari terakhir sidang kali ini, hari ini. Bagaimanapun ia bergantung kepada kebenaran diberi oleh speaker.

Terkini usul yang akan dibentang Abdul Hadi dijangka pada jam 12.00 tengahari ini.

TAGS