Gerakan cabar DAP umum awal calon PRU14

Gerakan cabar DAP umum awal calon PRU14

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini mencabar parti pembangkang DAP mengumumkan calonnya yang bakal bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lebih awal.

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata perkara itu penting untuk membolehkan rakyat menilai keseriusan dan keupayaan seseorang calon dalam berkhidmat demi rakyat.

Kami telah umumkan, kami telah bekerja keras jadi rakyat boleh lihat. Sila umumkan calon anda, kami mahu tahu siapa calon anda, bukan di saat-saat akhir,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Selangor hari ini.

Mah, yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan, berkata Gerakan kini lebih yakin dengan persediaan lebih awal yang dilakukannya bagi memastikan parti itu terus kekal relevan.

Bagi menghadapi PRU14 akan datang, Gerakan secara berperingkat telah mengumumkan senarai calon yang bakal berpotensi untuk bertanding sebelum dimuktamadkan oleh Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melahirkan keyakinan BN mampu menafikan kemenangan penggal ketiga pakatan pembangkang pimpinan DAP di Selangor, beliau berkata Gerakan sudah menggerakkan jentera dan menggembleng tenaga membantu parti komponen BN merampas negeri itu pada pilihan raya datang.

Gerakan perlu bekerja keras untuk mendapat tempat di Selangor bagi menghadapi PRU akan datang, kata Mah.

TAGS