Gesa batal visa Zakir Naik bertentangan prinsip hak asasi

Gesa batal visa Zakir Naik bertentangan prinsip hak asasi

Kenyataan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) yang menggesa kerajaan membatalkan visa Dr Zakir Naik adalah suatu gesaan yang tidak selari dengan konsep kebebasan bersuara dan bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia sejagat.

 

Kenyataan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) yang menggesa kerajaan membatalkan visa Dr Zakir Naik adalah suatu gesaan yang tidak selari dengan konsep kebebasan bersuara dan bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia sejagat.

Presiden ProGuam Noorazmir Zakaria dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan mempunyai kerangka hak asasi yang dinamik dan moden, serta membenarkan kebebasan bersuara secara terkawal.

“Sekiranya gesaan seperti ini dilayan, maka secara tidak langsung ia memberikan indikasi yang tidak elok tentang negara kita. Malaysia akan dilihat sebagai negara yang jumud dan terbelakang dari segi hak asasi manusia,” ujar beliau.

Menurut Noorazmir, sebagai sebuah majlis perundingan agama, peluang ini seharusnya diambil MCCBCHST untuk mengadakan dialog secara aman dan harmoni bersama Dr Zakir Naik yang boleh disaksikan secara langsung oleh jutaan rakyat Malaysia.

Usaha ini, ujar beliau secara tidak langsung memperlihatkan kepada dunia bahawa Malaysia menggalakkan dialog yang sihat sesama agama dan juara kepada perjuangan hak asasi di mata dunia.

“Jika tidak, kita tidak banyak bezanya dengan Donald Trump yang takut dengan bayang-bayang sendiri apabila menghalang kemasukan warga dari tujuh negara Islam dari memasuki Amerika Syarikat. Saya percaya MCCBCHST lebih mulia dan bijaksana daripada Donald Trump,” tambah beliau.

Noorazmir turut menyarankan kerajaan agar menjadi penganjur dialog ini dengan menjemput wakil-wakil daripada pelbagai agama di Malaysia yang kemudiannya disiarkan secara langsung di kaca tv.

“Diharapkan dialog antara agama sebegini akan menjadi perintis kepada dialog-dialog pada hari mendatang, seiring dengan hak-hak yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

TAGS